Walaupun ianya sekadar perlawanan playoff penentuan tempat ketiga Piala Dunia, pertemuan Brazil dan Belanda ini tidak akan mahu disia-siakan oleh kedua-dua pasukan yang telah pun mencapai sehingga ke tahap separuh akhir sebelum tewas dengan lawan masing-masing.

Tarikh 8 Julai 2014 merupakan tarikh yang akan kekal dalam lipatan sejarah Brazil sebagai ‘Hari Hitam’ buat bola sepak Brazil apabila dibelasah teruk oleh Jerman dengan jaringan 7-1 pada perlawanan peringkat separuh akhir.

Lebih memeritkan, kekalahan tersebut juga berlaku dihadapan penyokong sendiri di Estadio Mineirao di Belo Horizonte dan pengalaman pahit itu segera mahu dilupakan oleh skuad ‘Selecao’ dalam perlawanan yang bakal berlangsung ini.

Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari harus membawa anak buahnya kembali ke landasan sebenar untuk mengembalikan maruah bola sepak negara itu yang sudah pun ternoda dek kekalahan memalukan tempoh hari.

Kemenangan pada perlawanan playoff yang berlangsung di Estádio Nacional de Brasília Mané Garrincha di Brasilia ini sekurang-kurangnya menjadi ‘saguhati’ buat penyokong Brazil yang sudah pun kering air mata mereka selepas kekalahan dengan Jerman itu.

Views: Estádio Nacional de Brasília Mané Garrincha by Google Maps


Meskipun Neymar telah pun disahkan tidak dapat bermain dalam Piala Dunia ini akibat kecederaan tulang belakang yang dihadapi ketika menentang Colombia namun Scolari dijangka akan menurunkan Willian menggantikan Fred yang begitu hambar persembahannya dalam Piala Dunia ini.

Thiago Silva
KEMBALI: Kapten pasukan, Thiago Silva kembali semula ke dalam barisan kesebelasan selepas digantung satu perlawanan ketika menentang Jerman. (Sumber: AFP)

Willian akan bergandingan dengan Hulk dan dibantu Bernard, Oscar, Luiz Gustavo dan Fernandinho dan yang paling utama, kapten pasukan, Thiago Silva (gambar) akan kembali semula ke barisan kesebelasan utama setelah tersisih akibat digantung satu perlawanan semasa perlawanan menentang Jerman.

Sementara itu, Belanda yang tewas 2-4 dalam penentuan sepakan penalti ketika bertemu Argentina mahu pulang ke Amsterdam sekurang-kurangnya meraih tepat ketiga.

Percaturan yang tidak menjadi oleh Louis Van Gaal gagal menghasilkan sebarang jaringan sehingga memaksa Belanda menjalani satu lagi penentuan sepakan penalti selepas melalui perkara yang sama pada peringkat suku akhir bertemu Costa Rica.

Malah, setelah menggunakan tiga pemain simpanannya, van Gaal tidak dapat membawa masuk penjaga gol ‘pakar sepakan penalti’, Tim Krul untuk meneruskan kecemerlangannya dalam mengekang sepakan penalti.

Namun segalanya mahu dilupakan dan individu yang mahu membuktikan sesuatu dengan memenangi tempat ketiga ini sudah tentu Wesley Sneijder yang gagal dalam sepakan penalti semasa melawan Argentina.

Wesley Sneijder
TEBUS KEMBALI: Perancang Belanda, Wesley Sneijder mahu menebus kembali kegagalan menyempurnakan sepakan penalti dengan menjaringkan gol pada perlawanan ini. (Sumber:AFP)
Van Gaal dijangka akan menurunkan kesebelasan utama selain mengekalkan kombinasi Robin van Persie, Arjen Robben dan Wesley Sneijder disamping Dirk Kuyt akan bertindak di bahagian sayap.

Barisan pertahanan pula akan dikawal oleh Daryl Janmaat, Ron Vlar, Daley Blind dan juga Stefan de Vrij sambil gawang masih lagi disandarkan kepada Jesper Cillessen.

RAMALAN ASTRO AWANI: Brazil..1 Belanda..2

Pada pendapat anda siapakah yang mampu sekurang-kurangnya memenangi perlawanan playoff tempat ketiga? Adakah Brazil atau Belanda?.