GIANLUIGI Buffon mengakui dia takut bersara tatkala tonggak veteran Juventus bersedia mengumumkan hala tuju masa depannya.

Pemain legenda Juve dan Itali itu dijangka mendedahkan perancangan masa depannya hari ini di sebalik spekulasi mengaitkan penjaga gawang berusia 40 tahun berkenaan yang telah membuat 176 kemunculan antarabangsa akan bersara.

Buffon pernah berkata dia akan bersara pada akhir musim ini kecuali Juve memenangi Liga Juara-Juara (UCL) atau adanya kempen Piala Dunia Kelab untuk diharungi.

Juve ditundukkan secara dramatik oleh Real Madrid di peringkat suku akhir UCL, begitupun Buffon tetap berkesempatan meraikan kejayaan Serie A dan Coppa Italia minggu lepas - gelaran Scudetto ketujuh berturut-turut dan Piala Italia keempat berturut-turut.

Bercakap mengenai prospek kehidupan selepas bola sepak, Buffon memberitahu pertahanan Barcelona, ​​Gerard Pique, dalam wawancara dengan The Players' Tribune: "Pada usia saya ini, anda harus menilai keadaan pada setiap sebulan, seminggu atau sepanjang masa.

"Ini penting untuk atlet seperti anda dan saya yang selalu bermain di puncak, melakukan yang terbaik, berjuang untuk menjadi yang terbaik untuk kekal di puncak. Anda harus dalam keadaan baik secara fizikal kerana anda tidak mahukan keputusan yang buruk demi maruah anda.

"Saya adalah Buffon, dan itulah yang saya jadi sehingga minit terakhir. Dan apabila saya lagi setangkas itu, maka saya akan pergi. Dalam tempoh beberapa bulan, saya akan bertemu presiden dan kami akan menilai keadaan ini dengan tenang.

"Saya sangat gembira ketika ini. Saya gembira dapat beraksi kerana saya sukakan suasanamua -- saya bersama rakan-rakan dan saya tahu saya boleh membantu di padang. Pada hari saya tidak dapat melakukannya lagi, tiada masalah kerana saya mempunyai kerjaya yang hebat.

"Adalah tidak jujur ​​jika saya memberitahu anda bahawa saya tidak takut. Tetapi di dalam hati, saya berasa tenang dan damai kerana saya memiliki sifat ingin tahu yang semula jadi. Pada hari saya berhenti bermain bola sepak, saya akan mencari jalan untuk menghilang kebosanan dan memastikan akan tetap sibuk.

"Lagipun, pemain seperti kami yang telah melalui perjalanan ini dengan gigih, perlukan sesuatu untuk fokus dan mempunyai alasan untuk bangkit. Saya tidak akan pernah bosan atau jauh daripada pandangan awam.

"Satu-satunya masalah saya, selama 23 tahun ini, kehidupan saya sentiasa teratur. Setiap pagi, anda mempunyai jadual tetapi apabila anda mempunyai 24 jam tanpa perlu berbuat apa-apa, itu boleh jadi masalah."

Buffon telah menghabiskan sepanjang kerjayanya di Itali sejak berpindah dari Parma ke Juventus pada 2001.

"Saya suka berada di sekitar orang yang berbeza, cara hidup dan cara berfikir berlainan.

"Apapun, saya orang Itali sejati. Masyarakat Itali memiliki had tetapi dunia yang saya kenali membuatkan saya tersenyum dan saya sukakannya.

"Sebagai tokoh dalam sukan, saya tidak mahu meninggalkan Itali selagi tiada keperluan."