KUALA LUMPUR :Dalam apa sahaja rangkaian sistem keselamatan siber, faktor manusia adalah kelemahan utama yang boleh membuatkan penggodam mampu untuk menceroboh laman web sesebuah syarikat atau organisasi.

Ketua Unit Multimedia dan Tarbiah Keselamatan Siber di MRM Malaysia, Aaron Ikram Mokhtar berkata, setiap syarikat dan organisasi perlu memastikan kakitangan mereka mendapat pendidikan, pendedahan dan latihan secukupnya bagi menyediakan mereka dengan sebarang ancaman siber.

Menurutnya, penggodaman yang berlaku kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini bukanlah perkara baru kerana banyak pihak telah digodam pada tahun ini termasuklah kelab bola sepak Manchester United.

BACA: Serangan siber terhadap ATM, ini yang perlu anda tahu

“Isu di sini bukanlah adakah kita akan menjadi mangsa jenayah siber tetapi bilakah kita akan menjadi mangsa jenayah siber.

“Walapun kes penggodaman mendapat liputan meluas, hakikatnya daripada 10,000 insiden siber yang dilaporkan kepada Cyber Security Malaysia, hanya lebih kurang 1,000 insiden diklasifikasikan sebagai pencerobohan.

“Ini hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Tambahnya, berdasarkan kenyataan daripada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang baru-baru ini, beliau yakin ATM dan agensi berkaitan mampu untuk terus melindungi keselamatan siber di Malaysia.


Serangan siber: ATM sahkan portal rasmi digodam

Dalam pada, Aaron Ikram berkata, isu lebih besar yang perlu diberi perhatian adalah penipuan atas talian yang banyak berlaku sejak kebelakangan ini.

“Kita tengok, ramai yang kerana terdesak mencari duit kerana kehilangna pekerjaan akibat COVID-19, mereka lebih mudah diperdaya dengan skim cepat kaya dan janji-janji manis.

“Itu merupakan ancaman kepada mereka,” ujarnya.

BACA: ATM sahkan portal rasmi digodam

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan semua organisasi dan pentadbir sistem serta laman sesawang di Malaysia agar berwaspada dengan sebarang ancaman siber yang mungkin berlaku kepada mereka.

Menerusi satu kenyataan, MCMC menyarankan pihak berkaitan mengukuhkan dan mengemaskini perlindungan keselamatan aset teknologi maklumat sedia ada khususnya jika ia melibatkan orang ramai.

MCMC juga menasihatkan supaya semua pihak memantau akses yang mencurigakan terhadap aset-aset teknologi maklumat termasuk pelayan (server), peranti serta rangkaian organisasi.

“Sekiranya wujud aktiviti yang mencurigakan atau serangan yang dikesan organisasi, para pentadbir sistem dan laman sesawang dimohon untuk menyalurkan maklumat serta laporan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA),” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, NACSA di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah mengeluarkan pemakluman berhubung ancaman serangan serta pencacatan laman-laman sesawang organisasi Malaysia.

Pada Selasa lepas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan portal rasmi miliknya telah digodam.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang, insiden itu telah dikesan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.

"Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.

"Serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.