TEKA-TEKI siapa Pengarah Bola Sepak pasukan bagi Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) terjawab apabila Matt Holland diumum memegang jawatan itu, sekaligus mengetepikan khabar angin bahawa ia akan diisi ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Cheng Hoe akan kekal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya sehingga 2020 pada tengah hari Selasa.

Menurut laman Facebook PFA, Holland adalah seorang bekas pemain Swansea City FC yang mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak di Eropah, Amerika Syarikat, India, Thailand dan Australia.

Holland pernah memegang jawatan Pengurus Pembangunan Bola Sepak dan Pengarah Teknikal juara liga Thailand 2018, Buriram United dari tahun 2016 hingga 2018.

Selain itu, Holland juga pernah menjadi penolong jurulatih bagi Bengaluru FC pada 2015-2016.


Beliau juga mempunyai lesen kejurulatihan AFC Pro License dan dikatakan calon sesuai untuk membantu pasukan Singa Utara itu memperoleh keputusan yang baik dalam saingan Liga Malaysia 2019.