Dalam misi meraih pingat emas pertama pada Sukan Asia, skuad hoki lelaki negara tidak akan mengambil mudah cabaran di temasya sukan tersebut.

Ketua jurulatihnya, Stephen Van Huizen berkata di atas kertas, hanya pasukan India berada di kedudukan teratas (kelima) berbanding Malaysia (ke-12) dalam ranking dunia, namun beliau mengingatkan anak buahnya bahawa Pakistan (ke-13), Korea Selatan (ke-14) dan Jepun (ke-16), serta Kazakhstan (ke-86) boleh memberi ancaman kepada mereka.

"Sama ada kita berdepan Pakistan atau Thailand (ke-47) atau Kazakhstan, kita perlu bermain bersungguh-sungguh kerana matlamat kita untuk muncul dua pasukan terbaik dalam kumpulan sekali gus mara ke separuh akhir. Secara realistik, saingan adalah sukar kerana pada setiap kejohanan, empat atau lima pasukan akan berusaha keras memenangi pingat emas.

"Kita juga tidak tahu kemampuan Kazakhstan, kita tidak pernah bertemu mereka sebelum ini. Namun disebabkan mereka bekas negara Soviet Union, kita jangka corak permainan mereka sama seperti pasukan Eropah lain," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan senarai 18 pemain ke Sukan Asia 2018 di Stadium Hoki Nasional, di sini pada Khamis.

Skuad Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Pakistan, Bangladesh, Oman, Thailand dan Kazakhstan, manakala Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan India, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka, Hong Kong dan Indonesia.

Van Huizen berkata jangkaan terhadap pasukannya untuk meraih pingat emas pertama dan mendapat kelayakan automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, juga adalah tinggi kerana skuad berkenaan tersenarai dalam Program Podium.

"Bagi kebanyakan pemain dalam pasukan ini, ia mungkin peluang terakhir bagi mereka beraksi di Sukan Olimpik. Kita tahu jangkaan adalah tinggi apabila kita disenaraikan dalam Program Podium. Cabaran itu menjadi lebih besar dan kita akan memberi fokus satu demi satu perlawanan," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan pemain, bekas pemain kebangsaan itu berkata beliau memilih pasukan seimbang yang dibentuk sejak Oktober 2015.

"Kita memiliki lima pemain di setiap posisi dan seorang pemain yang boleh beraksi di semua posisi (Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad) jika ada pemain cedera," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Mohamad Sukri Abdul Mutalib yakin rakan sepasukannya mampu menyerap tekanan untuk memenangi pingat emas pertama itu, hasil latihan intensif dijalankan serta pengalaman yang ada pada pasukan berkenaan.

"Pasukan sememangnya sudah bersiap sedia untuk mencabar kejuaraan pada Sukan Asia kerana semua sedia maklum ia temasya sukan cukup penting untuk kami selain menyedari cabaran serta tekanan tinggi menanti setiap pemain.

"Kami akan berikan terbaik untuk negara dan pastinya dengan siri jelajah telah diatur serta latihan dijalani kami, dan sebagai sebuah pasukan kami percaya antara satu sama lain, percayakan barisan kejurulatihan yang kami mampu memperoleh keputusan positif," katanya.

Skuad Malaysian Tigers akan memulakan kempen Sukan Asia pada 20 Ogos, berdepan Kazakhstan, manakala pasukan wanita dijadual bertemu Hong Kong, sehari selepas itu.


Senarai 18 pemain dalam skuad lelaki:

S. Kumar, Muhammad Hairi Abd Rahman, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Muhammad Razie Abd Rahim, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Azri Hassan, Faiz Helmi Jali, Nabil Fiqri Mohd Noor, Muhammad Marhan Jalil, Meor Muhamad Azuan Hassan, Mohd Fitri Saari, Joel Samuel Van Huizen, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Faizal Saari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Muhammad Firhan Ashari and Muhammad Shahril Saabah.


Senarai 18 pemain dalam skuad wanita:

Farah Ayuni Yahya, Mas Huzaimah Md Aziz, Siti Noor Amarina Ruhani, Juliani Mohamad Din, Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nuraini Abd Rashid, Fatin Shafika Mahd Sukri, Fazilla Sylvester Silin, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Surizan Awang Noh, Norazlin Sumantri, Hanis Nadia Onn, Nuraslinda Said, Nur Syafiqah Mohd Zain, Nur Amirah Shakirah Zulkifli, Nur Zafirah Aziz, Kirandeep Kaur Gurdip Singh and Noor Hasliza Md Ali.

-- BERNAMA