Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menafikan laporan berita baru-baru ini bahawa pemain perlu membayar denda jika mereka memutuskan untuk kembali menyertai kejohanan di bawah naungan BWF selepas tidak beraksi selama setahun.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund menjelaskan bahawa denda hanya dikenakan ke atas pemain yang mengambil keputusan untuk tidak beraksi tanpa alasan yang sah.

"Jika pemain ini memutuskan untuk tidak beraksi walaupun dua atau tiga minggu sebelum kejohanan, mereka masih perlu untuk membayar denda yang dikenakan," kata Lund ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis BWF, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata pemain dikecualikan daripada membayar denda jika mereka mempunyai alasan yang kukuh kerana mengalami kecederaan serius, yang tidak akan menjejaskan kedudukan mereka dalam Ranking Dunia BWF.

"Pemain yang sudah bersara yang memutuskan untuk kembali menyertai mana-mana kejohanan di bawah naungan BWF selepas setahun, mereka dibenarkan berbuat demikian jika memberi notis selama tiga bulan," kata Lund.

Sementara itu, Lund berkata sistem kiraan 11 mata tidak akan dilaksanakan pada kejohanan badminton berpasukan campuran Piala Sudirman yang akan membuka tirai di Gold Coast, Australia dari 18 hingga 21 Mei.

Beliau berkata, sistem kiraan mata itu tidak sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini kerana BWF berpendapat bahawa sistem kiraan 21 mata yang digunakan sekarang diterima baik oleh pemain.

Sebelum ini, sebuah portal sukan tempatan melaporkan bahawa jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menyokong sistem kiraan 11 mata kerana ia memberi kelebihan kepada pemain berpengalaman.

Untuk rekod, format 21 mata sekarang telah digunakan sejak 2006, empat tahun selepas BWF memperkenalkan sistem kiraan tujuh mata bagi lima set perlawanan. -- Bernama