Bintang remaja Liverpool, Raheem Sterling kemungkinan tidak akan bersama skuad the Reds dalam jelajah Asia ke Malaysia, Thailand dan Australia.

Laporan menyebut Sterling membuat permohonan agar tidak disenaraikan dalam skuad selepas Liverpool menolak tawaran £40 juta dari Manchester City untuk membawanya ke Stadium Etihad.

Memburukkan keadaan, Sterling tidak hadir ke sesi latihan hari ini dengan memberi alasan tidak sihat.

Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, bimbang dengan situasi yang dihadapi Sterling.

Pemain kelahiran Jamaica itu melakukan semua perkara ini kerana mahu memaksa Liverpool segera menerima tawaran City.

Keadaan ini memburukkan reputasi Sterling sebagai pemain dan kemungkinan sukar untuk dipulihkan.


Perkongsian Carragher di Kicca.com mengenai situasi Sterling.

Carragher turut mendakwa situasi ini berlaku kerana City memaksa Sterling melakukan sesuatu untuk merealisasikan penghijrahannya selepas dua bidaan yang dibuat gagal.

Jelas Carragher lagi, kadang-kadang kelab memaksa situasi ini berlaku namun dalam hal ini, ia tidak memberi gambaran yang baik kepada Sterling.

Apa pula pandangan penyokong City terhadap situasi ini kerana ia mungkin berlaku kepada mereka dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Buat masa ini Liverpool bertekad untuk mendapatkan bayaran yang berpatutan untuk pemain seperti Sterling daripada tunduk kepada permintaan pemain itu mahupun City.

Carragher sering kali mengkritik tindakan Sterling kerana tidak menghormati kelab yang diwakilinya.

Bekas pengurus dan pemain Liverpool, Kenny Dalglish turut mengingatkan Sterling bahawa tiada pemain lebih penting daripada kepentingan sesebuah kelab.

Liverpool sebelum ini menolak dua bidaan dari City untuk Sterling kerana tawaran yang diberikan dibawah penilaian the Reds bagi pemain berusia 20 tahun itu.

Sterling dianggarkan bernilai £50 juta dan City dijangka kembali dengan tawaran paling hampir untuk membawa Sterling ke Manchester dalam masa terdekat.

Liverpool dijadual menentang skuad pilihan Malaysia pada 24 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad the Reds akan mula jelajah Asia menentang Thai All Stars pada 14 Julai di Bangkok sebelum ke Australia menentang Brisbane Roar FC dan Adelaide United FC pada 17 dan 20 Julai.