MUDA dan segar antara ciri-ciri individu bakal mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) yang baru, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain itu, Syed Saddiq menjelaskan individu tersebut juga merupakan muka baharu berkelulusan tinggi selain mempunyai pengalaman luas dalam bidang sukan.

“Saya sudah dimaklumkan berhubung siapa CEO tersebut…bagusnya individu itu muka baharu, segar ​​​​​​​dan anak muda. Beliau berkelulusan tinggi dan sangat berpengalaman dalam bidang sukan.

“Tunggu sahaja...dalam tempoh terdekat, ini petunjuk yang saya berikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jom Jumpa Kami Team KBS di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, pada Khamis.

Beberapa nama kini dikaitkan untuk mengisi kekosongan tersebut selepas lebih dua bulan pakar sains sukan, Dr Mohd Khairi Zawi mengambil keputusan memendekkan tempoh kontraknya yang sepatutnya pada Januari tahun ini, kepada November tahun lepas.

Sementara itu, mengulas mengenai program Jom Jumpa Kami Team KBS, Syed Saddiq menjelaskan usaha tersebut sebagai satu gambaran bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memberi perhatian kepada atlet negara.

“Program ini sebab utamanya saya mahu hantar mesej yang jelas bahawa pintu KBS sentiasa terbuka dan masalah mereka (atlet) lalui juga merupakan masalah bersama. KBS bertanggungjawab ke atas semua atlet dan kita akan cari jalan penyelesaian sebaik mungkin,” katanya.

Antara yang hadir bertemu beliau pada program tersebut adalah kapten skuad ragbi tujuh sepasukan (7s) negara, Zulkiflee Azmi selain beberapa individu mewakili persatuan belia.