Berita  | Sukan

Chelsea cadang kemuka rayuan larangan dua perpindahan pemain

Chelsea cadang kemuka rayuan larangan dua perpindahan pemain
Susulan isu itu, masa depan ayam tambatan Chelsea Eden Hazard (gambar) menjadi tanda tanya di Stamford Bridge. - Gambar fail/AP NEWSROOM
CHELSEA sekeras-kerasnya menafikan dakwaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bahawa mereka telah melanggar peraturan perpindahan dan akan membuat rayuan terhadap larangan merekrut pemain dalam dua jendela perpindahan.

Jawatankuasa Disiplin FIFA menjatuhkan hukuman itu semalam selepas mengesan 29 kes melibatkan kelab itu melanggar peraturan artikel 19 yang berkaitan dengan perpindahan dan pendaftaran pemain antarabangsa di bawah usia 18 tahun.

Penyiasatan itu pada mulanya berkaitan dengan 92 pemain.

The Blues diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan mendaftarkan muka baru dalam dua perpindahan seterusnya serta didenda Franc Swiss 600,000 (RM2.4j).

BACA: Chelsea diharamkan beli pemain untuk dua jendela perpindahan
Bagaimanapun, kelab berkenaan telah mengkritik penemuan FIFA itu dalam satu kenyataan yang mengumumkan niat mereka untuk merayu keputusan itu sambil melahirkan kekecewaan yang mendalam.

"Chelsea FC menafikan sekeras-kerasnya penemuan Jawatankuasa Disiplin FIFA itu dan sehubungan itu akan membuat rayuan," tulis kenyataan itu.

"Kelab ini ingin menekankan bahawa kami menghormati tugas yang dilakukan oleh FIFA berhubung perlindungan terhadap pemain di bawah umur dan telah bekerjasama sepenuhnya dengan FIFA sepanjang proses penyiasatan ini. 

"Pada mulanya, Chelsea FC didakwa di bawah Artikel 19.1 dan 19.3 berhubung 92 pemain.

"Kami mengalu-alukan hakikat bahawa FIFA telah mengesahkan tiada pelanggaran peraturan terhadap 63 pemain itu, namun kami sangat kecewa kerana FIFA menolak dokumen yang diserahkan kelab berhubung baki 29 pemain.

"Chelsea FC telah bertindak mengikut peraturan yang berkaitan dan akan segera mengemukakan rayuan kepada FIFA."

Pembelian Christian Pulisic dari Borussia Dortmund yang akan menyertai pasukan baharunya penghujung musim ini sedikit melegakan kerisauan The Blues, namun masa depan ayam tambatannya Eden Hazard menjadi tanda tanya di Stamford Bridge.

Barcelona sebelum ini pernah dikenakan larangan perpindahan serupa pada 2014 dan rayuan itu ditolak pada tahun berikutnya.

Luis Suarez, Ivan Rakitic, Jeremy Mathieu, Claudio Bravo dan Marc-Andre ter Stegen kesemuanya ditandatangani sebelum hukuman itu mula berkuatkuasa.






Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro


Tag: Chelsea, FIFA, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa, perpindahan, Barcelona, Luis Suarez, denda


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.