Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe optimis skuad Harimau Malaya akan segera menemui rentak kemenangan selepas terikat 2-2 bertemu Mongolia pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam semalam.

Pengendali berusia 49 tahun itu, berkata anak buahnya melaksanakan tugas dengan baik berdepan pasukan berada di ranking ke-189 dunia itu, namun tidak bernasib baik untuk menamatkan badi tanpa kemenangan buat skuad kebangsaan yang tidak meraih kemenangan dalam 11 perlawanan setakat ini.

"Pemain beraksi dengan baik, boleh nampak keserasian dalam kalangan mereka dan melakukan beberapa percubaan baik, tetapi palang (gol) menjadi penghalang kepada kita. Mereka bermain bersungguh-sungguh dan sebagai satu pasukan walaupun baru beberapa hari menjalani latihan pusat.

"Gol yang kita lepaskan akibat kesilapan individu dan kurang konsentrasi. Saya percaya kita masih boleh perbaiki prestasi kerana kita lihat pemain mempunyai lebih keyakinan hari ini. Walaupun Muhammad Akhyar Abdul Rasid pemain paling muda dalam skuad, beliau menampilkan permainan yang cemerlang," katanya selepas perlawanan.

Berada di ranking ke-178 dunia, Malaysia membuka jaringan pada minit ke-31 setelah ketua pasukan Mongolia, Turbaat Daginaa menanduk masuk bola ke gawang sendiri, sebelum Enkhbileg Purevdorj menyamakan kedudukan 11 minit kemudian untuk pasukan Mongolia, yang terdiri daripada pemain separuh profesional.

Muhammad Akhyar kemudian meletakkan skuad Harimau Malaya kembali di hadapan menerusi gerakan menarik pada minit ke-65, namun pasukan lawan berjaya mengikat kedudukan melalui jaringan Gankhuyag Ser-Od-Yanjiv, enam minit kemudian.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan ketika menewaskan Kemboja 3-2 semasa kempen Piala AFF 2016, pada November tahun berkenaan.

Ditanya cadangan agar diberi banyak peluang kepada pemain muda daripada skuad Bawah 23 tahun, yang mara ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak B-23 AFC 2018 di China pada Januari lepas, membarisi skuad Harimau Malaya, Cheng Hoe berkata peralihan itu mengambil masa kerana pemain akan hanya diberikan peluang jika mereka mempamerkan aksi terbaik dalam saingan liga tempatan.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Beirut pada Ahad ini, untuk berdepan Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 pada 27 Mac ini.

Sementara itu, jurulatih Mongolia Michael Weiss berkata pengalaman luasnya dalam arena bola sepak Asia Tenggara semasa menjadi ketua jurulatih Filipina selama tiga tahun, membantunya mengekang pasukan tuan rumah, walaupun beliau membariskan 80 peratus pemain muda di bawah umur 23 tahun.

"Kita kehilangan khidmat enam hingga tujuh pemain, jadi kita terpaksa membariskan pemain muda. Nasib baik saya mempunyai pemain muda yang bagus dalam pasukan," kata jurulatih kelahiran Jerman itu.

-- BERNAMA