Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebulat suara memilih China sebagai tuan rumah kejohanan Piala Asia 2023 apabila negara itu menjadi satu-satunya negara membuat bidaan rasmi untuk mendapatkan hak penganjuran kejohanan berprestij itu.

Keputusan pemilihan tuan rumah itu diumumkan pada Kongres Luar Biasa AFC yang berlangsung di Paris, pada Selasa, selepas Indonesia, Thailand dan Korea Selatan menarik diri daripada pembidaan tersebut.

Ini merupakan kali kedua China menjadi tuan rumah kejohanan tersebut selepas edisi ke-13 pada 2004 ketika penyertaan pasukan diperluaskan kepada 16 pasukan buat kali pertama sebelum ditambah kepada 24 pasukan pada edisi lalu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal tahun ini.

AFC, dalam kenyataan, berkata China telah mencadangkan untuk membina stadium baharu di sembilan daripada 12 bandar raya tuan rumah Piala Asia 2023 sebagai sebahagian daripada cita-cita jangka panjang negara itu untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.

Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, berkata Piala Asia akan menjadi platform untuk kebangkitan dan potensi pasukan China pada masa depan.

Selain itu, ia juga menyediakan China dengan kemudahan dan infrastruktur yang cukup hebat untuk menganjurkan pertanding bola sepak serta meletakkan sebagai sukan nombor satu di negara itu, katanya.

Menurutnya, badan bola sepak serantau itu berharap penganjuran kejohanan itu di China akan menandakan pertumbuhan hak komersil di era baharu di mana syarikat terkemuka China, DDMC Fortis, menjadi wakil komersil eksklusif AFC.

Sementara itu, AFC juga melantik pengerusi dan timbalan pengerusi serta anggota jawatankuasa Disiplin dan Etika, Kawalan dan Jawatankuasa Rayuan untuk tempoh empat tahun.

Pemilihan anggota jawatankuasa tersebut menyaksikan pegawai Malaysia, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dan Saaran Nadarajah masing-masing dipilih timbalan pengerusi ketiga Jawatankuasa Kawalan dan anggota Jawatankuasa Rayuan.



Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC:

Pengerusi: Lim Kia Tong (Singapura)

Timbalan: Shen Rui (China)

Ahli:

Tim Holden (Australia); Yusuf Mohamed Yaqoob Yaqoobi (Bahrain); Kengo Harima (Jepun); Khaled J Al Zamel (Kuwait); Ismail Zumayl Rasheed (Maldives); Atty. Guillermo B. Iroy Jr. (Filipina); Yaseer H. Al-Misehal (Arab Saudi).



Jawatankuasa Kawalan AFC:

Pengerusi: Liu Chi (China)

Timbalan Pengerusi: 1. Judge Rauf Soulio (Australia); 2. Ahmadreza Barati (Iran); 3., Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif (Malaysia); 4. Dr. Khaled Hassan S. Banaser (Arab Saudi)



Jawatankuasa Rayuan AFC:

Pengerusi: Jahangir Baglari (Iran)

Timbalan: Salman A. Al-Ansari (Qatar)

Ahli:

Dong-Ho Lim (Korea Selatan); Saaran Nadarajah (Malaysia); Syed Nayyar Hasnain Haider (Pakistan);

Nguyen Thi My Dzung (Vietnam).

-- BERNAMA