Berita  | Sukan

Chong Wei enggan pandang mudah, beregu campuran mahu tebus kecewa

Chong Wei enggan pandang mudah, beregu campuran mahu tebus kecewa
Chong Wei, bagaimanapun enggan memikirkan terlalu jauh kerana mahu menumpukan satu perlawanan pada satu masa tanpa perlu membebankan dirinya.
KUCHING: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran utama, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mempunyai misi tersendiri di kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia, yang bermula di sini esok.

Bagi Chong Wei, 34, gelaran perseorangan kali ke-12 pasti sasaran utama manakala Peng Soon-Liu Ying mengharapkan pengorbanan memberi kemenangan percuma kepada lawan di separuh akhir Terbuka India Sabtu lepas, adalah berbaloi.

Chong Wei, bagaimanapun enggan memikirkan terlalu jauh kerana mahu menumpukan satu perlawanan pada satu masa tanpa perlu membebankan dirinya.

"Bukan senang untuk menang setiap tahun apa lagi semua pemain akan cuba menewaskan saya di laman sendiri," katanya selepas ditemui di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Cabaran pertama menanti Chong Wei ialah menentang wakil England, Rajiv Ousep, pemain ranking ke-14 dunia sebelum berdepan pemenang pertemuan Anders Antonsen dari Denmark dan dengan Hu Yun dari China.

Mengenai kemungkinan berdepan seteru utamanya, Lin Dan di final, Chong Wei berkata masih terlalu awal memperkatakannya apa lagi juara dunia dan Olimpik, Chen Long berada di laluannya di separuh akhir.

Bagi Peng Soon-Liu Ying pula, mereka menjadi harapan untuk menamatkan kemarau gelaran pemain negara dalam acara beregu campuran yang kali terakhir dimenangi gandingan Tan Aik Huang-Teoh Siow Yong pada 1963.

Peng Soon berkata kesihatan Liu Ying, yang demam dan batuk sewaktu Terbuka India, bukan serius dan tidak akan menjejaskan prestasi mereka.

Di Terbuka Malaysia, pasangan itu akan memulakan saingan dengan menentang pasangan Indonesia, Edi Subaktiar dan Gloria Emanuelle Widjaya di pusingan awal.

"Kami menewaskan pasangan sama pada pusingan awal Terbuka India dan seharusnya kami tidak akan menghadapi masalah untuk mengalahkan mereka di Terbuka Malaysia," kata Peng Soon.

Sebagai rekod, Peng Soon-Liu Ying pernah muncul naib juara dua kali Terbuka Malaysia, masing-masing pada edisi 2013 dan 2016.

Terbuka Malaysia yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US600,000 (RM2.64 juta) akan berlangsung di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Petra Jaya di sini mulai esok hingga 9 Julai.

-- BERNAMA