Kelibat beliau sememangnya dinantikan kumpulan media di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan Datuk Lee Chong Wei seolah-olah tahu kehadiran kami.

"Datuk! Di sini! Please, Datuk!" jerit kami yang setia menantikan ketibaanya sejak sejam lalu.

Sambil tersenyum, Chong Wei mengangguk tanda beliau akan bersama kami di tempat semua jurukamera berkumpul, sedia untuk menemubual beliau. Beliau tampak positif. Mana tidaknya, beliau pulang membawa kejuaraan Terbuka China.

Kejohanan itu boleh dikatakan hampir mustahil untuknya namun, Chong Wei berjaya menafikan sebarang tanggapan negatif terhadapnya dengan mengalahkan pemain nombor tiga dunia, Lin Dan dan juga pemain nombor satu dunia, Chen Long.

"Episod buruk kini sudah berakhir. Saya berjaya melalui perjalanan paling sukar dalam karier dan kini saya lebih yakin," katanya ketika ditemui.

Kes dadah terhadap Chong Wei lewat 2014 menyaksikan bekas pemain nombor satu dunia itu digantung daripada sukan badminton selama lapan bulan sehingga jatuh ke kedudukan 180 dalam ranking dunia. Sejak Mei lalu, dia kini memperbaiki kedudukan ke kedudukan keenam.

"Saya mahu menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan diri sendiri dari segi fizikal dan mental dan semestinya untuk tahun depan," katanya.

Beliau kini akan meneruskan perjuangannya dalam membawa misi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahu pingat emas Olimpik dengan kerjasama erat jurulatihnya, Hendrawan dan Tey Seu Bock.

Ketika berjalan ke arah pintu keluar, sekumpulan penyokong yang turut hadir meminta untuk bergambar dengannya. Sama seperti layanan kepada media, begitu juga layanan yang diberikan Chong Wei kepada peminatnya.

Selamat pulang, Chong Wei!