Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berharap filem biografi mengenai dirinya akan menjadi inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, malah untuk peminat sukan badminton di seluruh dunia.

Filem 'Rise of Legend' arahan Teng Bee itu mengisahkan sepenuhnya mengenai penglibatan awal Chong Wei dalam arena badminton sehingga menjadi jaguh terkemuka dunia.

"Saya tidak sangka kisah hidup saya sebagai pemain badminton dijadikan filem. Saya berharap filem ini menjadi inspirasi kepada semua peminat badminton tempatan dan luar negara.

"Filem ini mengisahkan cabaran kehidupan saya sebagai pemain badminton dan saya berharap dapat mendorong penonton untuk lebih suka sukan badminton dan tidak mudah berputus asa," katanya kepada pemberita selepas sidang media filem berkenaan di sini pada Khamis.

Chong Wei berkata beliau juga turun padang ketika kru produksi mengadakan sesi uji bakat bagi pemilihan pelakon bagi menjayakan wataknya.

Filem yang dirancang sejak tiga tahun lepas itu melibatkan lebih 2,000 peserta uji bakat untuk melakonkan watak Chong Wei.

Beliau turut berpuas hati dengan lakonan Tosh Chan bagi watak dewasa dan Jake Eng untuk watak ketika kanak-kanak.

Chong Wei berkata pihak produksi juga bercadang menayangkan filem tersebut di luar negara seperti Singapura, China, Taiwan dan Jepun.

Filem yang mengambil masa pengambaran 50 hari itu akan ditayangkan awal tahun depan.

Antara pelakon membintangi filem itu adalah Datuk Rosyam Nor yang memegang watak jurulatih kebangsaan Datuk Misbun Sidek, Ashley Ashley (Datin Wong Mew Choo), pelakon terkenal Singapura, Mark Lee (bapa Chong Wei, Lee Ah Chai) dan Yeo Yann Yann (ibu Chong Wei, Khor Kim Chooi).

Sementara itu, Rosyam berkata filem tersebut bukan sahaja mengisahkan perjalanan hidup Chong Wei tetapi turut memaparkan hubungan erat antara Chong Wei dan Misbun yang diibaratkan seperti bapa dan anak.

"Saya bersetuju menerima tawaran melakonkan watak Misbun kerana impak filem ini bukan fiksyen tetapi realiti. Saya percaya filem ini mampu menjadi rujukan pada masa akan datang," kata Rosyam.

-- BERNAMA