Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dipaksa bekerja keras lebih sejam sebelum mengesahkan slot ke suku akhir Kejohanan Badminton All England di Birmingham, pada Khamis.

Pada aksi pusingan kedua tersebut, juara bertahan itu mudah memenangi set pertama 21-6 menewaskan pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun, namun kalah pada set kedua 13-21, sebelum bangkit pada set penentuan dengan kemenangan 21-18, menurut laman web kejohanan bwf.tournamentsoftware.com.

Menanti Chong Wei di suku akhir adalah musuh tradisi, Lin Dan dari China yang menyingkirkan Wang Tze Wei dari Taiwan 21-13, 23-21.

Untuk rekod, Chong Wei memenangi kejohanan berprestij itu empat kali pada 2010, 2011, 2014 dan 2017 manakala Lin Dan sebanyak lima kali - 2004, 2006, 2007, 2012, 2016.

Dalam pada itu, cabaran beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berakhir biarpun mempamerkan semangat juang tinggi dalam pertarungan sengit menentang pasangan China, Zhang Nan-Li Yinhui pada pusingan kedua itu.

Mereka terpaksa akur dengan kekalahan straight set 22-24, 20-22.

Tiga lagi wakil negara - dua beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei akan beraksi pada awal pagi ini waktu Malaysia.

-- BERNAMA