Berita  | Sukan

Chong Wei pesan 'jangan risau, coach' - Misbun

Chong Wei pesan 'jangan risau, coach' - Misbun
Misbun mendapat makluman positif daripada Chong Wei (gambar) mengenai keadaan kesihatannya. - Gambar fail
JAKARTA: Datuk Misbun Sidek berkata beliau mendapat makluman positif daripada anak didiknya Datuk Lee Chong Wei mengenai keadaan kesihatan jaguh badminton negara itu yang kini menjalani rawatan di Taiwan berhubung masalah pernafasan yang dialaminya.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara itu berkata beliau ada menghubungi Chong Wei dan mendapat makluman balas positif mengenai keadaan pemain itu.

"Saya hanya menghantar SMS (Sistem Pesanan Ringkas) pada dia dan dia respons memaklumkan keadaan baik-baik sahaja. Coach (jurulatih) jangan risau," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini sekembali dari temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada Rabu.

Misbun berkata beliau hanya menghantar SMS kepada pemain itu kerana percaya pemain veteran berusia 36 tahun itu memerlukan privasi buat masa masa ini bagi membolehkan dia menjalani rawatan.
Mengenai prestasi pemain muda pada temasya Sukan Asia itu, Misbun berkata Chong Wei tidak memberikan sebarang komen namun beliau percaya ikon badminton negara itu mengambil berat mengenai prestasi pemain.

"Dia tidak memberi komen mengenai pencapaian pemain muda dan dia faham situasi sekarang ini.

"Saya percaya dalam hatinya mempunyai kata-kata yang sama, ini adalah masa untuk kita (pemain perseorangan) untuk lebih menonjol dan perlu memberikan lebih banyak pendedahan kepada pemain muda," katanya.

Skuad badminton negara yang sering menjadi prospek medal di Sukan Asia bagaimanapun kali ini pulang dengan tangan kosong.

Masalah kesihatan dialami Chong Wei mula menjadi tumpuan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain berkenaan menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China, awal bulan ini dan temasya Sukan Asia 2018 yang sedang berlangsung ketika ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan badan induk itu pada akhir bulan lepas, Chong Wei disahkan mengalami masalah pernafasan dan dia perlu berehat selama sebulan bagi menjalani rawatan dan tidak boleh terbabit dengan sebarang aktiviti fizikal.

-- BERNAMA