Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei antara pemain pilihan perseorangan lelaki di Kejohanan Perodua Masters Malaysia yang tersingkir seawal pusingan pertama di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil di sini.

Chong Wei selaku pemain pilihan kedua kejohanan, tewas kepada Kenta Nishimoto dari Jepun dalam pertarungan sengit tiga set, 21-19, 18-21, 19-21 pada perlawanan pembukaan pada Rabu.

Hanya pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark yang mara ke pusingan seterusnya selepas berhempas pulas menewaskan Lee Hyun Il dari Korea Selatan; 18-21, 21-14, 21-5.

"Saya terima kekalahan ini kerana ia bukan kejohanan keutamaan saya...saya pun tidak merancang untuk bermain di sini. Selepas Siri Super Akhir Dubai, saya bercuti dan memang tidak buat persiapan rapi untuk kejohanan ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Terdahulu, pemain kelas dunia yang turut tersingkir adalah Chen Long dan Lin Dan dari China, serta Son Wan Ho dari Korea Selatan.

Hanya Lee Zii Jia dan Liew Daren yang meneruskan cabaran negara ke pusingan seterusnya dalam acara perseorangan lelaki di kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain perseorangan wanita, Lee Ying Ying yang mengekalkan rentak kemenangan dengan menewaskan Evgeniya Kosetskaya dari Rusia; 21-17 dan 23-21 untuk bertemu pemain Jepun, Aya Ohori di pusingan kedua.

Ying Ying berkata selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan semalam, keyakinannya di gelanggang semakin meningkat dan mahu fokus untuk mencatat kemenangan seterusnya.

Goh Jin Wei turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan Hanna Ramadini dari Indonesia 21-15, 21-19 dan dijadual bertemu Pai Yu Po dari Taiwan, esok.

Namun, Lim Yin Fun dan Soniia Cheah terpaksa akur dengan kekalahan rubber set kepada lawan masing-masing. Lim tewas kepada pemain pilihan kedua Akane Yamaguchi dari Jepun 18-21, 21-17, 12-21 manakala Soniia kalah kepada pemain pilihan pertama, Tai Tzu Ying dari Taiwan; 21-18, 12-21, 12-21.

Sementara itu, empat beregu wanita negara layak ke pusingan kedua iaitu Soong Fie Cho-Tee Yi Jing yang menewaskan Liu Xuanxuan-Zhou Chaomin dari China 21-16, 21-18; Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen kalahkan Supisara Paewsampran-Kwanchanok Sudjaipraparat dari Thailand 21-17, 21-17.

Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean singkirkan rakan sepasukan Goh Yea Ching-Teoh Mei Xing 21-15, 21-15 dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei menundukkan beregu Taiwan Lin Xiao Min-Wu Fang Chien 21-18, 21-17.

Dalam pada itu, dua wakil beregu lelaki yang turut mara ke pusingan kedua adalah Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menewaskan beregu pilihan ketujuh, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dari Rusia 22-20, 22-20, manakala Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mengalahkan gandingan campuran Lim Khim Wah dari Malaysia dan Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan dengan straight set 21-15, 21-18.

V Shem- Wee Kiong akan bertemu Ee Yi-Yew Sin pada perlawanan pusingan kedua, esok.

-- BERNAMA