PENGENDALI futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong, menyifatkan pemilihannya dalam senarai calon jurulatih futsal terbaik dunia dalam Anugerah Umbro Futsal 2017 sebagai hasil kejayaan sepasukan.

Sejak mengendalikan skuad negara dua tahun lalu, Chun Yong berjaya menjelmakan peningkatan kepada barisan kebangsaan.

Kejayaan muncul pemenang pingat perak temasya KL2017 lalu serta naib juara Kejohanan AFF dan mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC di Taiwan, bulan depan antara pencapaiannya.

Chun Yong turut berjaya merapatkan jurang dengan jiran yang juga gergasi Asia, Thailand, kerana mereka kini tidak lagi mampu menewaskan kebangsaan dengan mudah.

Di bawah Chun Yong, ranking skuad negara kini melonjak ke tangga ke-53 dunia dan ke-7 terbaik Asia.

"Pengiktirafan ini harus ditujukan kepada semua pemain, pengurusan dan barisan kejurulatihan atas kerjasama yang erat.

"Ini sesuatu yang sangat positif tetapi sudah tentu saya tidak fokus kepada pencapaian individu. Tumpuan utama saya tetap kepada pasukan futsal kebangsaan," ujarnya.

Pemenang anugerah itu akan diumumkan 10 Januari ini selepas pemilihan panel yang terdiri daripada jurulatihf futsal berpengalaman di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan kepada Chun Yong turut membakar semangat pemain menjelang Kejohanan AFC, bulan depan.

Bagi penjaga gol utama, Firdaus Razali, yang pernah berlatih di bawah beberapa jurulatih lain, menganggap kelebihan Chun Yong terletak kepada kemampuannya memberi motivasi kepada pemain.

"Saya banyak menaikkan semangat, meniukan motivasi ketika moral kami jatuh," kata Firdaus.