Ketika ramai yang bakal terpaku di hadapan skrin televisyen pada malam ambang Aidilfitri Khamis ini, ada yang akan 'terbang' ke Rusia untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia FIFA 2018 secara langsung 'di stadium'.

Mereka adalah pelanggan Astro yang bakal menikmati pengalaman yang tidak pernah lagi ditawarkan dalam penyiaran Piala Dunia di negara ini iaitu dengan ciri 'virtual reality' (VR) atau realiti maya yang membawa rasa paling hampir dengan tontonan di tempat perlawanan sebenar.

"Segalanya, termasuk bunyi riuh sorakan di stadium semasa perlawanan," menurut Ketua Sukan Astro, CK Lee.

Astro sejak beberapa edisi lepas menjadi peneraju kepada penyiaran Piala Dunia, dan bagi edisi ke-21 ini konglomerat media itu akan meneruskan kecemerlangannya menawarkan kandungan komprehensif dengan liputan meluas.

Menyantuni anjakan dunia ke landasan digital, Astro memperkasa capaiannya dalam platform itu untuk membolehkan pelbagai kandungan diakses di mana sahaja pada bila-bila masa.

Secara atas talian di televisyen pintar, telefon bimbit dan peranti bersesuaian, para pelanggan boleh menikmati paparan ulang tayang hanya beberapa minit selepas kejadian sebenar berlaku di atas padang dari pelbagai sudut sekitar stadium seperti dari belakang gol dan 'bird's-eye view'.

Semua ini tidak hanya untuk akses pelanggan Astro sahaja sebenarnya, tetapi eksklusif juga kepada bukan pelanggan Astro dengan pembelian Pas Saluran Piala Dunia.

"Kami sangat berbesar hati untuk membawa bersama semua rakyat Malaysia walaupun anda bukan pelanggan Astro.

"Anda boleh beli pas sama ada untuk kesemua 64 perlawanan, atau kita juga ada pakej yang lebih kecil mengikut keperluan tontonan anda dan boleh ditonton di semua platform kami. Jadi anda tidak semestinya perlu ada set dekoder Astro untuk menikmati Piala Dunia," kata CK.

Pakej Pas Saluran Piala Dunia ditawarkan Astro yang boleh dibeli mengikut keperluan tontonan anda.
Semua kandungan menarik dan komprehensif ini juga boleh dinikmati menerusi cari VR, yang pasti menjanjikan pengalaman yang baru dalam tontonan Piala Dunia.

Untuk menonton secara VR, anda perlu memuat turun aplikasi Stadium Astro VR. Perlawanan dan kandungan video juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro Go, sementara banyak lagi kandungan seperti berita terkini, analisis, profil pasukan serta pemain boleh didapati di laman web juga aplikasi Stadium Astro.

Selain itu, Astro turut mengumumkan barisan pengulas yang sudah dimuktamadkan, terdiri daripada bekas-bekas pemain antarabangsa yang antaranya pernah menjulang piala keramat idaman setiap negara itu iaitu Gilberto Silva, Danny Mills, Gaizka Mendieta, Sol Campbell, Gary Stevens, Christian Ziege, John Heitinga, Sunday Oliseh, Owen Hargreaves, Djibril Cisse, Marcus Allback dan Luis Boa Morte.

Piala Dunia FIFA 2018 Rusia akan membuka tirainya dengan perlawanan antara tuan rumah dengan Arab Saudi pada jam 11 malam 14 Jun ini.