Manchester City mengambil langkah besar menuju peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas mengenepikan FC Basel 4-0 di St Jakob-Park.

Pasukan Pep Guardiola mendominasi perlawanan pertama Pusingan 16 di Switzerland selepas Ilkay Gundogan, Bernardo Silva dan Sergio Aguero menjaringkan gol dalam masa sembilan minit.

Gundogan terlebih dahulu meletakkan City di hadapan selepas menanduk masuk hantaran Kevin de Bruyne.

Empat minit kemudian, Silva menggandakan kelebihan dengan merembat masuk gol selepas hantaran dari Raheem Sterling.

Penyerang berbisa City Aguero kemudian menjaringkan gol ke-29 musim ini pada minit ke 23 selepas menendang masuk gol ketiga perlawanan.

Gundogan kemudian menjaringkan golnya yang kedua 10 minit selepas babak kedua bersambung untuk melengkapkan kemenangan bergaya City.

Perlawanan timbal balik di Stadium Etihad pada 7 Mac nanti sepatutnya tidak memberi masalah buat City yang kini mengungguli Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 16 mata.