PEMAIN tengah Manchester City, Ilkay Gundogan, percaya pasukannya boleh memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim ini kerana peningkatan kematangan.

Skuad Pep Guardiola nyata menunjukkan dominasi dalam laluan mereka menuju ke gelaran Liga Perdana musim lalu, tetapi disingkirkan Liverpool dalam suku akhir di pentas Eropah.

Gundogan, yang membantu City meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan pembukaan liga mereka, berasakan gergasi England itu bersedia untuk mencabar mahkota Eropah.

"Saya bermimpi memenangi gelaran Liga Juara-Juara dengan Manchester City dan gelaran bersama Jerman," katanya kepada WAZ.

"Di Manchester musim lalu kami mempunyai perasaan bahawa kami sudah bersedia untuk itu. Ia tidak mencukupi. Tahun ini tiada perubahan dalam perasaan ini.

"Saya percaya kami lebih matang, kami berpotensi menjadi pemenang Liga Juara-Juara."

Gundogan menyertai City pada pertengahan 2016, tetapi kecederaan lutut menyaksikan dia diketepikan dalam sebahagian besar musim pertamanya sebelum membuat penampilan semula pada 2017-18.

Pemain antarabangsa Jerman berusia 27 tahun itu berkata dia bersyukur dengan sokongan yang diterima ketika mengalami kecederaan itu.

"Saya suka bermain di Manchester City. Saya puas hati sekarang dan bersedia untuk kembali ke prestasi terbaik," kata Gundogan.

"Pemimpin kelab sentiasa berada di belakang saya dalam situasi sukar dan saya mempunyai sokongan penuh. Saya tidak akan lupakan perkara seperti ini."