Colombia mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Senegal untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.

Tandukan Yerry Mina dalam babak kedua sudah memadai untuk skuad La Tricolor muncul juara kumpulan H.

Colombia perlu menang ke atas Senegal dalam perlawanan di Samara Arena pada Khamis, bagi mengelak terpaksa pulang awal dari saingan Piala Dunia.

Skuad bimbingan Jose Pekerman itu menduduki tangga ketiga dengan tiga mata, satu mata di belakang Jepun dan Senegal.

Bagaimanapun Senegal terlebih dahulu melancarkan serangan berbahaya menerusi rembatan jarak jauh M’Baye Niang pada minit pertama permainan yang tersasar.

Pada minit ke-12, Juan Quintero terlepas peluang untuk meletakkan Colombia di depan apabila percubaannya diselamatkan penjaga gol, Khadim N’Diaye.

Malang menimpa Colombia apabila perancang utama pasukan itu, James Rodriguez terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan ketika permainan baru berlangsung selama 30 minit.

Bersambung di babak kedua, Colombia menggandakan usaha mencari gol kemenangan namun tandukan Radamel Falcao tersasar selepas menerima sepakan sudut Quintero.

Colombia akhirnya memecah kebuntuan selepas sepakan sudut Quintero ditanduk masuk Mina.

Usaha Senegal mendapat gol penyamaan digagalkan penjaga gol Colombia, David Ospina yang menyelamatkan cubaan ke penjuru gawang oleh Niang pada minit ke-77.

Colombia akan bertemu England dalam pusingan kedua kejohanan pada 4 Julai, jam 2 pagi.