BINTANG seni bela diri campuran (MMA) UFC Conor McGregor yang telah mengumumkan persaraannya 26 Mac lalu, kini memberi bayangan ingin kembali ke gelanggang.

Petinju Ireland berusia 30 tahun yang terkenal dengan keceluparannya itu, memaklumkan dia masih belum selesai bertarung.

“Saya mahu bergerak ke hadapan, bersama penyokong saya dari pelbagai kepercayaan dan latar belakang.

“Semua agama mencabar kita untuk menjadi yang terbaik. Dunia ini satu, dan milik kita semua. Sekarang, jumpa anda di Octagon,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Khamis.

Pengumuman terbaharu ini dipercayai susulan perang Twitter yang berlaku di antara dia dan juara UFC lightweight Khabib Nurmagomedov sejak akhir-akhir ini.

BACA: McGregor ibarat isteri yang cemburu - Khabib

McGregor sebelum ini dilihat mengecam Khabib melalui Twitternya dengan mengatakan "Isteri anda adalah seorang tuala".

Tweet tersebut disertakan dengan gambar Khabib dan isterinya ketika majlis perkahwinan mereka.

Selain Khabib yang berang dengan kenyataan itu, ia turut mendapat kecaman hebat oleh netizen di serata dunia yang menyifatkan ia sebagai hinaan terhadap Islam dan berbaur perkauman.

Tweet berkenaan kemudiannya dipadam McGregor.

McGregor merupakan petarung pertama UFC yang memegang dua gelaran dunia serentak selepas menewaskan Eddie Alvarez di Manhattan, New York pada 2016.

Kali terakhir dia bertarung ialah dengan jaguh Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan di UFC 229, McGregor dan Khabib kini telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.