Chelsea tidak pernah berniat memancing Alexis Sanchez kerana mereka tidak dapat bersaing dari segi kewangan dengan Manchester United dan Manchester City, menurut Antonio Conte.

Sanchez dijangka akan bersatu semula dengan bekas pengurusnya di Barcelona, ​​Pep Guardiola, di City namun selepas minat Chelsea itu diredakan Conte, pemain berkenaan berpindah ke United dengan perjanjian pertukaran pemain dengan Henrikh Mkhitaryan ke Arsenal.

City dipercayai mengundurkan diri terhadap pemain Chile tersebut disebabkan kebimbangan mengenai pakej kewangan yang menyaksikan Red Devils dilaporkan bersetuju untuk membayarnya gaji sebanyak £300,000 (RM1.6 juta) seminggu.

Conte berkata, angka itu amat bermakna Chelsea yang dibiayai oleh jutawan Russia, Roman Abramovich, yang cuba mengelak daripada bersaing dengan kelab Manchester untuk menandatangi Sanchez.

"Kami tidak pernah berada di dalam perlumbaan ini sejak awal lagi, terutama kerana, saya ulangi, salah satu sebabnya ialah gaji," kata Conte.

Pengurus Itali itu berkata Chelsea tidak mampu berbelanja besar seperti musim-musim terdahulu selain kekangan kewangan bermakna City dan United akan bersaing untuk merebut gelaran sementara kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain masih perlu berjuang untuk mendapatkan tempat dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Dia berkata: "Saya fikir buat masa ini, ada dua pasukan dalam liga ini yang berada di peringkat atas, mereka kekal di sana sementara yang lain harus berjuang untuk tempat dalam UCL.

"Apa yang berlaku di Chelsea selama tiga tahun, 10 tahun atau lapan tahun lalu sangat berbeza, sekarang saya fikir kami harus berjuang.

"Musim lepas, kami memenangi liga dan berjaya dengan suntikan tambahan £50 juta (keuntungan atas perpindahan). Tiada siapa yang menyebut tentang hal ini. Pada masa lalu, ini tidak pernah berlaku.

"Kini, saya fikir Manchester United dan Manchester City di puncak sana dan kami perlu cuba dan membina sesuatu yang penting untuk mewujudkan asas, kemudian berjaya melalui hasil kerja kami, bukan dengan wang.

"Bukan mudah untuk melaksanakannya ketika ini (mengatasi kedua-dua kelab tersebut) kerana mereka terus bertambah baik dan melabur banyak wang.

"Jika anda terus mempunyai jurang seperti ini ... bukan hanya di sini di England sahaja, dua kelab besar ini boleh menjadi ancaman serius kepada pasukan lain di dunia, kedua-dua pasukan sudah begitu mantap dan masih ingin melabur. Hanya terdapat satu atau dua kelab sahaja yang mampu membayar gaji jenis ini. "