FRANCIS Coquelin bakal menyempurnakan perpindahan ke Valencia selepas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, mengesahkan perkara itu sejurus tamat separuh akhir pertama Piala EFL menentang Chelsea, awal pagi tadi.

Valencia sebelum ini seolah-olah memberi bayangan ketibaan Coquelin selepas menyiarkan gambar beg bagasi dengan tertera "FC" yang membawa maksud Francis Coquelin melalui laman media sosial Twitter pasukan.

Selepas dilaporkan akan berpindah dengan yuran perpindahan bernilai GBP12 juta (RM64 juta), Wenger akhirnya mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu akan meninggalkan Emirates.

"Ya, Coquelin akan ke Valencia kerana tidak meraih banyak waktu perlawanan. Saya melepaskannya," kata Wenger.

Coquelin meninggalkan Gunners dengan rekod yang tidak begitu membanggakan selepas gagal menjaringkan sebarang gol hasil daripada 160 perlawanan dan pada musim ini, dia hanya beraksi dalam satu perlawanan liga.

Apabila ditanya mengenai pengganti kepada Coquelin, Wenger menyifatkan dia lebih gembira untuk melihat pemain sedia ada pulih daripada kecederaan.

"Cara terbaik untuk menggantikannya adalah memastikan Aaron Ramsey dan Mesut Ozil segera kembali," katanya.