PEMAIN Juventus, Douglas Costa, telah memohon maaf di atas tindakan buruknya sehingga dibuang padang sewaktu pasukannya menewaskan Sassuolo 2-1.

Dua jaringan Cristiano Ronaldo - yang merupakan gol pertama di pentas Serie A - memberikan kemenangan buat Juve di Stadium Allianz tetapi aksi buruk Costa di penghujung perlawanan pasti tidak akan dilupakan.

Pemain sayap itu menyiku dan menanduk Federico Di Francesco, sebelum meludah ke arah tonggak Sassuolo itu dan kini berdepan penggantungan perlawanan.

Melalui laman Instagram, dia menyatakan rasa tanggungjawab terhadap insiden itu.

"Saya mahu memohon maaf kepada semua penyokong Juventus di atas apa yang saya lakukan hari ini (semalam)," katanya.

"Saya juga meminta maaf kepada rakan sepasukan yang sentiasa bersama saya tidak kira bila-bila masa. Ia sesuatu yang buruk, saya sedar tentangnya dan meminta maaf kepada semua.

"Saya mahu menjelaskan bahawa aksi itu tidak berkaitan dengan apa yang telah saya lalui dalam karier."

Sementara itu, gol pertama Ronaldo hadir secara bernasib baik tetapi ia jelas mengurangkan beban yang ditanggung bekas tonggak Real Madrid itu.

Jaringan kedua Ronaldo lebih mirip kepada aksi kebiasaannya sebelum ini, apabila rembatannya melepasi jangkauan penjaga gol dan pemain berusia 33 tahun itu menggunakan laman Twitter untuk berkongsi kegembiraannya.

"Saya sangat gembira untuk meraih dua gol pertama bersama jersi Juve serta melibatkan diri dalam kemenangan penting buat pasukan," ujar Ronaldo.