England akhirnya tersingkir daripada saingan Piala Dunia selepas ‘bantuan’ yang diharapkan daripada Itali untuk menewaskan Costa Rica gagal direalisasikan apabila pasukan itu tewas mengejut 0-1 dalam perlawanan Kumpulan D di Arena Pernambuco, Recife awal pagi tadi.

Gol jaringan ketua pasukan Costa Rica, Bryan Ruiz sudah cukup untuk membawa pasukan kerdil itu melangkah bergaya ke pusingan kedua manakala Itali dan Uruguay berkongsi tiga mata hasil kemenangan mereka ketika bertemu England.

Kemenangan Costa Rica itu juga merupakan suatu sejarah buat negara itu apabila berjaya menjinakkan dua bekas juara Piala Dunia, Itali dan Uruguay dan kejayaan mereka untuk menempatkan diri mereka ke pusingan kedua menyamai rekod mereka ketika beraksi pada Piala Dunia 1990 di Itali.

Costa Rica
(AP Photo/Petr David Josek)

Pujian seharusnya diberikan kepada Costa Rica yang seawal wisel sepak mula dibunyikan mereka telah memberikan asakan demi asakan ke kubu Itali walaupun Itali berjaya membalasnya dengan memberikan percubaan-percubaan bahaya ke pintu gol Costa Rica.

Pujian juga harus diberikan kepada ketangkasan penjaga gawang Costa Rica, Keylor Navas yang banyak mengagalkan percubaan bahaya yang dilakukan oleh barisan serangan dan tengah Itali seperti Mario Balotelli, Daniele de Rossi, Antonio Cassano dan Alesio Cerci.

Costa Rica yang menggandakan cubaan demi cubaan mereka turut beberapa kali hampir berjaya membolosi gawang Itali hasil kelincahan pemain, Joel Campbell dan pada satu ketika Costa Rica seharusnya dihadiahkan sepakan penalti apabila Campbell dijatuhkan oleh pertahanan Itali, Giorgio Chellini dalam kotak penalti.

Namun gol yang ditunggu akhirnya tiba apabila Bryan Ruiz menceriakan penyokong Costa Rica dengan menanduk masuk bola hantaran jauh dari Junior Diaz sekaligus menewaskan penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon.

Costa Rica
EPA/SRDJAN SUKI

Kedudukan 1-0 itu kekal hingga wisel penamat dan Costa Rica menjadi pasukan keempat selepas Belanda, Chile dan Colombia layak ke pusingan kalah mati manakala satu lagi slot dari Kumpulan D akan ditentukan antara Itali dan Uruguay pada perlawanan terakhir kumpulan pada 25 Jun.

England pula menyertai Cameroon, bekas juara bertahan, Sepanyol dan Australia pulang awal setelah tersingkir.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Joel Campbell (Costa Rica)