VALENCIA mengesahkan 35 peratus saringan wabak koronavirus baru (COVID-19) yang dijalankan ke atas individu berkaitan kelab itu adalah positif.

Semalam, kelab Sepanyol itu mengakui terdapat lima kes wabak berkenaan berjangkit dalam kalangan pemain dan kakitangan skuad utama selepas Ezequiel Garay, Jose Gaya dan Eliaquim Mangala mengesahkan saringan mereka.

Saringan lanjut di kelab itu mengesahkan "beberapa" kes lagi selepas bulan lalu -- termasuk Rabu lalu ketika mereka bertemu Atalanta di Itali, negara Eropah paling teruk terjejas dengan pandemik berkenaan.

Valencia merumuskan mereka mempunyai kadar saringan positif sebanyak 35 peratus sejak menghadapi Atalanta di Milan -- wilayah yang dilabel sebagai berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak itu -- pada 19 Februari lalu.

Menurut satu kenyataan yang diterbitkan kelab itu semalam: "Beberapa ujian lanjut terhadap COVID-19 dalam kalangan barisan kejurulatihan dan pemain Valencia adalah positif.

"Kesemua kes tidak menunjukkan sebarang gejala dan mereka yang terlibat kini dikuarantin di rumah, diberikan ubat dan mengikut panduan latihan yang telah diberikan kepada mereka.

"Walaupun prosedur ketat telah diketengahkan oleh kedua-dua kelab itu dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Atalanta di Milan pada 19 Februari -- wilayah yang disahkan sebagai 'berisiko tinggi' oleh pihak berkuasa Itali, sehari kemudian -- termasuk menjarakkan antara skuad dengan pekerja kelab mahupun orang awam, keputusan terkini menunjukkan bahawa perlawanan itu terdedah kepada wabak tersebut dengan kadar saringan positif sekitar 35 peratus."

Dengan Sepanyol mengenakan perintah kawalan pergerakan, perlawanan LaLiga sebelum ini termasuk hujung minggu ini ditunda.

Sebanyak 9,682 kes COVID-19 melibatkan 342 kematian dilaporkan di Sepanyol.