PERLAWANAN pusingan 16 Liga Europa di antara Wolves dan Olympiacos akan dilangsungkan secara tertutup, begitu juga dengan pertemuan Sevilla menentang AS Roma, demikian disahkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Kedua-dua pertemuan pada awal pagi Jumaat ini merupakan perlawanan terbaru yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

Kerajaan Greece melaksanakan larangan sementara terhadap peminat untuk menonton sebarang acara sukan sejak kelmarin dengan setakat ini, 73 kes jangkitan telah direkodkan di negara itu.

UEFA mengesahkan bahawa keputusan itu akan menjejaskan perlawanan Olympiacos di peringkat Eropah dan Wolves akan membayar semula kerugian penyokong mereka yang sudah membeli tiket.

Sementara itu, kunjungan Roma ke laman Sevilla juga akan berlangsung secara tertutup berdasarkan pertemua Valencia dan Atalanta dalam Liga Juara-Juara Eropah bulan lalu.

BACA: COVID-19: Sepanyol sahkan kematian pertama

BACA: COVID-19: Kejohanan Badminton Para Sepanyol 2020 dibatalkan

Perlawanan di Sepanyol itu akan tetap diteruskan walaupun sebanyak 999 kes jangkitan dan 16 kematian direkodkan di negara itu.

Itali merupakan negara Eropah yang paling terjejas dengan 7,375 kes direkodkan selain 366 kematian -- kesemua acara sukan di negara itu ditangguhkan sehingga 3 April ini.