Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan kesemua aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akan ditangguhkan bermula Isnin hadapan, susulan penularan COVID-19.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan perkembangan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai wabak berkenaan.

Bagaimanapun, Hamidin menjelaskan kesemua aksi Liga Super dan Liga Premier minggu ini (Jumaat-Ahad) akan tetap berlangsung, namun mengambil pendekatan membenarkan perlawanan berlangsung tanpa penyokong.

"Keputusan diambil demi kebaikan semua pemain, pasukan dan penyokong yang terlibat secara terus dengan arena bola sepak negara," katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), wakil Majlis Sukan Negara (MSN), wakil Institusi Sukan Malaysia (ISN), barisan penaja dan rakan kongsi Liga-M.