KUALA LUMPUR:Pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Sepang (Utara) hujung minggu ini telah ditangguhkan susulan situasi pandemik COVID-19 ketika ini.

Promoter perlumbaan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), dalam kenyataan hari ini, berkata mereka gagal mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan untuk menganjur perlumbaan tersebut.

Justeru, katanya, pihaknya terpaksa menangguhkan perlumbaan kali ini ke satu tarikh lain.

Memandangkan dua pusingan sudah ditangguhkan, SAM berkata pihaknya akan mengeluarkan kalendar baharu perlumbaan sebaik sahaja keadaan COVID-19 bertambah stabil.

"SAM ingin memohon maaf kepada pelumba, pasukan, pegawai dan pihak yang terbabit atas segala kesulitan serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama dan memahami keadaan semasa," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, pusingan kelima perlumbaan di litar sama pada 17 Okt lalu terpaksa ditangguhkan susulan lonjakan kes COVID-19 di negara ini.

-- BERNAMA