PERDANA Menteri Itali, Giuseppe Conte, meluluskan cadangan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Itali (CONI) untuk menangguhkan kesemua acara sukan sehingga 3 April ini selepas mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara itu berikutan penularan wabak COVID-19.

Terdahulu, kesemua acara sukan di Itali diarahkan untuk dilangsungkan secara tertutup sehingga bulan depan berikutan larangan kerajaan itu tetapi CONI mengumumkan cadangan terbaru mereka susulan peningkatan jumlah kes jangkitan yang ketara semalam.

Conte mengesahkan bahawa cadangan CONI itu akan diaplikasikan dengan ketua negara itu mengumumkan mengenai penangguhan Serie A dan kesemua acara sukan ketika beliau turut memperkuatkan perintah berkurung ke seluruh negara -- sebelum ini hanya "kawasan merah" dikenakan perintah berkenaan.

Kesemua perhimpunan awam dilarang, melainkan tugas-tugas kecemasan dengan secara keseluruhan, seramai 9,172 orang telah dijangkiti setakat semalam.

"Tiada masa lagi, angka (jangkitan) telah menunjukkan kita mengenai peningkatan penularan, dalam rawatan rapi dan kematian," katanya dalam sidang media.

"Kita perlu mengubah tabiat, kita perlu mengorbankan sesuatu untuk kepentingan seluruh Itali.

"Disebabkan itu, kita akan mengamalkan langkah-langkah yang ketat.

"Saya akan menandatangani perintah baru itu, yang boleh disimpulkan dengan ungkapan 'Saya tinggal di rumah'.

"Tidak ada lagi zon merah, hanya ada Itali yang dilindungi.

"Kita mesti mengelakkan sebarang perjalanan kecuali untuk alasan kerja yang terbukti, sebab kesihatan atau keperluan lain. Kami mengharamkan perhimpunan awam yang besar.

"Kami juga mempunyai langkah-langkah yang lebih ketat buat acara sukan.

"Serie A dan semua kejohanan sukan pada umumnya digantung. Semua peminat perlu terima," katanya.

BACA: COVID-19: Menteri Sukan Itali gesa Serie A dihentikan sementara

BACA: 110,000 orang dijangkiti COVID-19 di seluruh dunia

BACA: COVID-19: Angka kematian di Itali meningkat mendadak

Masih belum ada sebarang kepastian mengenai status pasukan-pasukan Itali dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) masih belum menunda sebarang perlawanan tetapi telah mengesahkan bahawa perlawanan di antara AS Roma dan Sevilla dalam Liga Europa di Stadio Olimpico, 19 Mac ini akan dilangsungkan secara tertutup.

Euro 2020 pula dijangka akan bermula di Rome pada 12 Jun ini.