BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo, dilapor telah menyambut kehadiran orang baharu dalam hidupnya dengan kelahiran anak kembar.

Pasangan kembar itu selamat dilahirkan menerusi kaedah ibu tumpang pada Khamis, lapor saluran televisyen Portugal, SIC.

Laporan itu juga menyebut bayi berkenaan dinamakan Eva dan Mateo.

Bagaimanapun di laman sosial, Ronaldo belum memuat naik sebarang status berkaitan kelahiran bayi kembar tersebut.

Media pada Mac lalu melaporkan Ronaldo bakal menimang bayi kembar yang akan dilahirkan seorang wanita yang menetap di pantai barat Amerika Syarikat.

Ronaldo telah memiliki seorang anak lelaki, Cristiano Ronaldo Jr., yang juga dilahirkan menerusi kaedah ibu tumpang pada tahun 2010.

Ronaldo Jr dilahirkan pada Jun 2010, namun Ronaldo hanya mengumumkan kelahiran anaknya itu sebulan kemudian.