Croatia mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan kedua selepas membelasah Cameroon 4-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan A.

Mario Mandzukic yang tidak diturunkan pada perlawanan pertama bertemu Brazil menjadi wira apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan ini.

Ivica Olic membuka jaringan sebelum Ivan Perisic menambah luka parah Cameroon yang terpaksa bermain sepuluh orang selepas pemain tengah, Alexandre Song dibuang padang kerana menumbuk Mandzukic dari belakang.

Malah, dalam perlawanan ini juga dapat dilihat bahawa Cameroon bagaikan bermain sambil lewa ditambah pula dengan keadaan tiada semangat berpasukan apabila pemain pertahanan, Benoit Assou-Ekoto bergaduh dengan rakan sepasukannya Benjamin Moukandjo.

Percakaran antara kedua-dua pemain ini memaksa pemain senior seperti Pierre Webo dan juga Samuel Eto’o terpaksa campur tangan dalam meleraikan dan menenangkan mereka.

Ketiadaan Eto’o yang masih bergelut dengan kecederaan lutut nyata memberi impak besar kepada pasukan Cameroon kerana barisan serangannya yang tumpul dan gagal memberikan jaringan atau percubaan yang berbahaya ke pintu gol Croatia.

Keadaan yang berlaku ini memberi peluang kepada Croatia untuk terus melakukan asakan demi asakan yang nyata jelas mencemaskan benteng pertahanan Cameroon.

Kedudukan ini kekal hingga ke wisel penamat dan Cameroon menjadi pasukan ketiga selepas Sepanyol dan Australia tersingkir dari persaingan Piala Dunia.

Cameroon dijangka akan melengkapkan aksi kumpulan menentang tuan rumah, Brazil pada 24 Jun dan Croatia pula akan cuba untuk mencari satu lagi kemenangan apabila bertemu Mexico pada hari yang sama.

Croatia masih menghuni tangga ketiga dengan tiga mata dibelakang Brazil dan Mexico yang masing-masing mengutip empat mata dari dua perlawanan manakala Cameroon terperosok di tangga terbawah kumpulan tanpa sebarang kemenangan.

PEMAIN PERHATIAN ASTRO AWANI: Mario Mandzukic (Croatia).