Tutup

Berita  | Sukan

CSGO: Kaze mahu ikut jejak langkah Mushi, harumkan nama negara

CSGO: Kaze mahu ikut jejak langkah Mushi, harumkan nama negara
Andrew Khong (Kaze) mahu membuktikan kepada dunia yang Malaysia mempunyai kehebatan tersendiri dalam arena e-sukan CSGO. -Foto Facebook / Andrew "Kaze" Khong
PEMAIN profesional Counter-Strike: Global Offensive (CSGO) Andrew Khong (Kaze) yang kini direkrut pasukan China ViCi Gaming berhasrat untuk mengikuti jejak langkah pemain terkemuka Dota 2 tempatan, Chai Yee Fung (Mushi).

Menurut Kaze, keputusan untuk bermain sebagai penempak hendap bagi pasukan CSGO China itu adalah sebagai platform untuk membuktikan kehebatan bakat Malaysia kepada dunia.
“Saya mahu mengikuti jejak langkah Mushi. ViCi Gaming kini mahu membina semula pasukan CSGO dan saya dipanggil oleh kapten mereka memandangkan mereka memerlukan pemain penembak hendap.

“Mereka menyifatkan skil saya sesuai untuk pasukan mereka. Jadi saya terima tawaran untuk menjadi sebahagian daripada ViCi Gaming,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI baru-baru ini.

Kaze sebelum ini bermain untuk pasukan antarabangsa yang juga berpangkalan di China, iaitu Flash Gaming.

Meskipun ditawarkan untuk meneruskan kontrak dengan Flash Gaming selepas tamat pada Mac lalu, Kaze memilih untuk tidak meneruskannya berikutan beberapa masalah pengurusan dalam organisasi e-sukan itu.

"Mereka ada mempunyai masalah pengurusan dan saya agak marah apabila gaji saya tidak bayar.

"Prestasi kumpulan secara keseluruhan juga semakin teruk. Kami cuba untuk memperbetulkan setiap masalah yang ada namun keputusan masih sama.

"Walau bagaimanapun, saya menimba banyak pengalaman bersama mereka dengan menyertai kejohanan-kejohanan besar. Tahun lalu merupakan satu tahun yang sangat mencabar buat kami," tambahnya.

Sementara itu, bercakap mengenai suasana kompetitif CSGO di Malaysia, Kaze berpendapat tidak ramai pemain tempatan mempunyai keyakinan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

“Sekarang ini kita boleh nampak banyak pasukan dibubarkan dan kemudiannya ditubuhkan semula.

"Bagi saya, ia bukanlah mengenai mempunyai organisasi yang sesuai, namun lebih kepada mempunyai pemikiran yang betul dalam arena ini.

"Setakat ini saya percaya dan mempunyai keyakinan terhadap pasukan FrostFire yang dipimpin oleh Aiman Azham. Mereka mempunyai pemikiran untuk terus ke hadapan,” jelasnya.

Anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu mula bermain CSGO sejak e-sukan itu dilancarkan pada 2012.

Dia mula bermain secara kompetitif pada 2012 dan kini bergelar sebagai pemain sepenuh masa CSGO.