Tidak seperti soalan berkisarkan hal politik negara, apabila diajukan soalan berhubung ramalan beliau mengenai perlawanan akhir Piala AFF Suzuki yang dijadual berlangsung malam ini, Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan teragak-agak memberi jawapan.

“Sukar untuk saya buat ramalan. Saya harap Malaysia menang, dapat satu dua gol jadilah,” jawabnya dengan menguntum senyuman.

Tambah Perdana Menteri, Skuad Harimau Malaya yang bakal menentang pasukan Vietnam dalam perlawanan malam ini dilihat sebagai satu simbol perpaduan yang unik dalam negara.

“Malaysia ini, walaupun mempunyai kepelbagaian kaum, tetapi dalam sukan kita bersama. Sukan adalah acara yang baik untuk kita.

“Bila jaguh badminton kita menang, bukan sesebuah kaum sahaja yang bangga, tetapi satu Malaysia meraikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu program Bicara Khas TV1 yang dibawakan RTM pada Isnin malam.