PENGURUS AS Roma, Eusebio Di Francesco, tidak mahu memikirkan soal kecederaan yang dialami oleh Lionel Messi dan mahu pasukannya mengikat bintang Argentina itu dalam aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Barcelona, awal pagi Rabu.

Messi terlepas dua aksi persahabatan antarabangsa pada bulan lalu akibat masalah kecederaan paha dan hanya tampil sebagai pemain gantian ketika Barca mengikat Sevilla 2-2 pada saat akhir, namun kembali dalam kesebelasan utama pasukannya sewaktu menewaskan Roma 4-1 di Camp Nou.

Pemain berusia 30 tahun itu tidak menjaringkan gol dalam aksi pertama tetapi mencatat hatrik ketika Barca membenam Leganes pada Sabtu lalu, membuatkan Ernesto Valverde mungkin memilih untuk merehatkannya.

Di Francesco menyifatkan prestasi Messi adalah bukti pasukannya berjaya mengekang kelibat pemain itu dan mahu mengulanginya di Stadium Olimpico pada awal pagi Rabu.

"Semua orang menyifatkannya tidak cergas dan tiba-tiba Messi menjaringkan hatrik," kata Di Francesco.

"Ini bermakna kami berjaya mengekangnya dalam setiap pergerakan. Kami harus menyekat setiap ruang yang ada untuknya tidak kira dimana dia berada ketika di atas padang.

"Kekuatan Barcelona datang daripada pemikiran mereka yang bermula daripada peringkat akademi dan telah berkembang selama beberapa tahun. Mereka mengawal permainan dengan baik dan mengurangkan setiap kesilapan.

"Kami memaksa mereka melakukan kesilapan dalam aksi pertama tetapi tidak menggunakan kesempatan itu. Jadi, kami mahu mengawal aksi dan tidak dibolosi."