PEMAIN import kelahiran Korea, Do Dong-hyun, berjanji terus mempamerkan aksi terbaik dalam usaha membantu pasukannya Kelantan mencari kemenangan pertama dalam aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, esok.

Keyakinan bekas pemain kelab UiTM FC ini berasas apabila dia mula membuka akaun jaringan selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti bagi membantu The Red Warriors (TRW) seri 1-1 menentang Terengganu FC, Selasa lepas.

“Jaringan pertama saya dalam Liga Super dan keyakinan semakin bertambah untuk membantu TRW mencari kemenangan pertama.

“Bukan mudah untuk menentang Pahang di gelanggang mereka tetapi saya berjanji akan terus menampilkan aksi terbaik,” katanya.

Dong-hyun juga menyifatkan misi mendapatkan kemenangan pertama dikongsi oleh semua pemain TRW dan mereka mahu menjadikan aksi menentang Pahang sebagai medan menamatkan kemarau kemenangan.

“Aksi pertama kami kalah kepada Melaka dan kedua, seri dengan Terengganu FC. Kini, semua pemain tekad memberikan yang terbaik untuk menamatkan kemarau kemenangan dengan mengatasi Pahang dan membawa balik tiga mata,” katanya.

Dong-hyun juga melahirkan rasa terkilan kerana jaringannya tidak mampu membantu TRW mengalahkan Terengganu FC biarpun mereka menguasai permainan.

“Sedikit terkilan kerana jaringan saya masih tidak mampu membantu pasukan mendapat tiga mata penuh ketika beraksi di hadapan penyokong setia.

“Saya tidak akan berputus asa kerana setakat ini kami beraksi dengan baik dan mungkin nasib masih belum bersama kami,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan berada di tangga kesembilan Liga Super dengan satu mata dalam dua perlawanan manakala Pahang di tangga kesepuluh.