Ketua jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, yang diberi tugas mengendalikan pasukan Pilihan Malaysia menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool Football Club (LFC), telah melakukan rombakan besar-besaran.

Beliau menggugurkan 13 pemain daripada skuad kebangsaan yang mempamerkan aksi hambar pada dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Timor Leste dan Palestin pada bulan lalu.

Menurut laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad Pilihan Malaysia akan mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 19 Julai ini sebagai persediaan untuk perlawanan menentang The Reds pada 24 Julai ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tiga belas pemain tersebut ialah penjaga gol pasukan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad (PDRM), Indra Putra Mahayuddin (Felda United), R. Gopinathan (Pahang) serta Farizal Marlias, Fadhli Shas, Junior Eldstal, S. Kunanlan, Mahalli Jasuli, Safiq Rahim, Amri Yahyah, Safee Sali dan Nazrin Nawi (JDT).

"Lima daripada 15 pemain tempatan yang terpilih untuk perlawanan itu adalah nama baharu yang tiada dalam senarai 23 pemain skuad kebangsaan ketika dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018 sebelum ini. Mereka ialah penjaga gol Zamir Selamat (Perak), Razman Roslan (Pahang), Nazirul Naim Che Hashim (Harimau Muda B), Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu).

"Bagaimanapun, Safiq dan Amri diminta untuk bersedia dipanggil menjalani latihan bagi menggantikan mana-mana pemain jika terdapat kecederaan di kalangan senarai 20 pemain yang dinamakan," menurut FAM.

Sementara itu, Dollah turut menamakan lima pemain import, iaitu Ashfaq Ali (PDRM), Robert Cornthwaite (Selangor) dan Thiago Junio Aquino (Perak), Dickson Nwakaeme (Pahang) dan Zah Rahan Krangar (Felda United) untuk memantapkan skuad itu.

Senarai pemain:

Pilihan Malaysia


Zamir Selamat, Khairul Azhan Khalid, Mohd Afif Amiruddin, Razman Roslan, Yong Kuong Yong, Zubir Azmi, Nazirul Nail Che Hashim, Mohd Nasir Basharuddin, Baddrol Bakhtiar, Azamuddin Akil, Ahmad Syamim Yahya, Ahmad Hazwan Bakri, Joseph Kalang Tie, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Afiq Azmi, Dickson Nwakaeme, Ashraq Ali, Robert Cornthwaite, Thiago Junio Aquino, Zah Rahan Krangar.

Liverpool FC

Simon Mignolet, Adam Bogdan, Ryan Fulton, Nathaniel Clyne, Joe Gomez, Dejan Lovren, Alberto Moreno, Kolo Toure, Andre Wisdom, Daniel Cleary, Martin Skrtel, Mamadou Sakho, Joe Maguire, Joe Allen, Jordan Henderson, Lucas Leiva, James Milner, Pedro Chirivella, Jordan Rossiter, Carlos Teixeira, Jordon Ibe, Ryan Kent, Sheyi Ojo, Harry Wilson, Adam Lallana, Lazar Markovic, Raheem Sterling, Danny Ings, Rickie Lambert, Divock Origi.