MONACO 3 DORTMUND 1
(Monaco mara dengan agregat 6-3)

Thomas Tuchel mengakui tahap prestasi Borussia Dortmund tidak mencapai tahap yang diperlukan selepas mereka terkandas di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara kepada AS Monaco di Stade Louis II, awal pagi tadi.

Dortmund tewas 3-2 dalam pertemuan pertama di Signal Iduna Park -- perlawanan yang telah dijadualkan semula berikutan serangan ke atas bas pasukan itu -- dan tugas mereka menjadi lebih sukar berikutan permulaan lembab yang menyaksikan mereka melepaskan dua gol dalam tempoh 17 minit.

Kylian Mbappe yang menjadi pemusnah dengan dua gol, minggu lepas, menerkam ke arah Roman Burki yang melakukan kesilapan ketika mengemudi gawang Dortmund, sebelum Radamel Falcao menanduk masuk gol ke-45 dalam 50 penampilannya di pentas Eropah.

Marco Reus cuba menghidupkan semula peluang wakil Jerman itu menerusi gol pada awal babak kedua, bagaimanapun Monaco membuktikan mereka lebih berhak untuk melangkah ke separuh akhir apabila pemain gantian, Valere Germain, menyudahkan peluang dengan sentuhan pertamanya untuk memastikan kemenangan 3-1 Monaco, seterusnya mara 6-3 secara agregat.

Jurulatih Dortmund, Tuchel, memberitahu pemberita: "Kami bermula dengan baik dengan membuat satu atau dua percubaan berbahaya, kemudian kami tidak bernasib baik melepaskan gol.

"Ia merobek sedikit keyakinan kami. Kemudian kami melakukan terlalu banyak kesilapan dalam dari segi hantaran dan posisi kami.

"Pada babak kedua, kami meneruskan perjuangan, tetapi kami gagal menghasilkan gol. Kami telah menampilkan permainan yang hebat dengan tiga pemain pertahanan, terutama dalam kempen Liga Juara-Juara, tetapi kami tidak cukup baik.

"Secara keseluruhan, prestasi kami tidak mencapai tahap yang sepatutnya."

Burki mengangkat tangan di atas kesilapan awalnya sambil mengakui dia sepatutnya boleh menepis percubaan Benjamin Mendy ke arah yang lebih selamat.

"Kesilapan kami memberikan mereka dua gol awal menjadikan keadaan lebih sukar buat kami," katanya. "Kami sudah cuba segala-galanya selepas rehat dan saya fikir kami telah menampilkan prestasi baik, tetapi semuanya berakhir sebaik mereka merakamkan gol ketiga.

"Gol pertama adalah kesilapan saya, saya sepatutnya menggunakan tangan saya untuk menepisnya lebih jauh."