Stesen televisyen berbayar Astro pada Rabu mengumumkan akan menyiarkan acara utama Kejohanan Dota 2 The International 2015 (TI5) secara langsung pada 4 hingga 9 Ogos nanti.

Kejohanan eksklusif ini boleh ditonton secara percuma oleh pelanggan Astro di Saluran 808 Astro SuperSport Plus dan Astro on the Go.

Ketua Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata Astro berbesar hati untuk menjadi penyiar pertama saluran televisyen yang menawarkan siaran langsung e-sukan di rantau ini.

"Kejohanan TI5 sangat dikagumi dalam industri e-sukan. Populariti e-Sukan kini semakin berkembang dan kami percaya kejohanan ini akan menjadi 'hit' yang besar dengan 10 juta pemain permainan video yang ada di Malaysia," jelas Lee dalam satu kenyataan pada Rabu.


TI5merupakankejohanantahunan Dota 2 yang kelima anjuran Valve yang akan berlangsung di KeyArena, Seattle, Washington.

Setiap pasukan bagaimanapun perlu menyertai saringan peringkat kumpulan yang sudah pun bermula dari 27 Julai lalu sehingga Khamis ini.

Dalam peringkat kumpulan ini tidak akan berlaku sebarang penyingkiran di mana setiap pasukan akan merebut kedudukan 'upper bracket' dalam acara utama.

Sebagai tambahan liputan siaran kejohanan ini, Astro SuperSport Plus juga akan menerbitkan paparan belakang tabir perjalanan dan progres pasukan Fnatic yang terdiri daripada pemain-pemain Malaysia.

Pasukan Fnatic Dota 2 ini terdiri daripada Chai Yee Fung, 25, yang terkenal dengan gelaran nama Mushi, Khoo Chong Xin (Ohaiyo), 22, Lee Kong Yang (kYxY), 24, Lee Siong Tait, (Johnny) dan Fadil Muhammad Razif (KecikImba), 19.
Pemain Dota Malaysia
Pasukan Fnatic Dota 2 yang akan menyertai The International 5 (TI5) di mana kesemuanya terdiri daripada rakyat Malaysia. Dari kiri: Lee Kong Yang (kYxY), Fadil Muhammad Razif, Chai Yee Fung (Mushi), Lee Siong Tait JoHnNy, Khoo Chong Xin. - Foto Laman Rasmi Fnatic
Presiden eSports Malaysia, Datuk Latt Shariman Abdullah berkata siaran kejohanan TI5 ini juga merupakan peluang baik untuk menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa e-Sukan telah diiktiraf sebagai sebuah sukan di Malaysia melalui Esports Malaysia (eSM)

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Astro kerana mengambil inisiatif untuk membawa nama e-Sukan dii media arus perdana bagi mendekati semua rakyat Malaysia," jelasnya dalam kenyataan yang sama.

Berita baik ini juga mendapat sambutan daripada peminat Dota 2 tanah di media sosial di mana antara mereka mengucapkan terima kasih kepada Astro atas siaran langsung kejohanan terkemuka ini.


Setakat ini, wang terkumpul kejohanan TI5 adalah sebanyak AS$17,534,899(RM66,632,616) di mana kira-kira 36 peratus daripadanya adalah hadiah wang tunai bagi pasukan yang menduduki tempat pertama kejohanan ini iaitu sebanyak AS$6,312,564 (RM 23,987,743).

Saksikan acara pembukaan TI5 secara langsung pada 4 Ogos jam 1 pagi di Saluran 808 Astro SuperSport Plus Channel 808 atau di Astro on the Go.

Untuk keterangan lanjut, sila layari http://www.stadiumastro.com/