"BUKAN sekarang."

Itu reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berhubung ura-ura membawa semula penganjuran Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas keputusan kerajaan terdahulu menghentikan penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tersebut tahun lalu.

Merujuk kepada kos penganjuran yang begitu mahal, Dr Mahathir melihat penganjuran F1 belum sesuai untuk dikembalikan ke SIC.

Kerajaan perlu menunggu beberapa tempoh masa lagi untuk mengumumkan berita gembira buat pencinta sukan permotoran negara.

Bagaimanapun, tiada halangan untuk penganjuran saingan MotoGP yang dianggap masih relevan untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah.

"Untuk perlumbaan F1, tahap pencahayaannya perlu ditingkatkan lagi tetapi untuk perlumbaan biasa, tahap pencahayaan ketika ini sudah memadai.

"Ini kerana untuk F1, tahap pencahayaannya perlu ditingkatkan lagi kerana ia melibatkan siaran televisyen," ujar beliau ketika dijemput sebagai tetamu kehormat untuk melancarkan pembukaan lampu limpah litar SIC sepanjang 5.543 kilometer.

Namun, perkembangan itu belum cukup kuat untuk mengesahkan akan ada penganjuran F1 di sebelah malam ekoran beberapa kekangan.

Di kesempatan itu, Dr Mahathir sempat menguji SIC dengan memandu sendiri kereta yang disediakan untuk Perdana Menteri sebaik selepas membuat pelancaran.