Berita  | Sukan

Dr Mahathir tidak tolak kemungkinan F1 kembali ke Malaysia

Dr Mahathir tidak tolak kemungkinan F1 kembali ke Malaysia
Dr Mahathir memandu sendiri kereta Ferrari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas menyempurnakan perasmian lampu limpah SIC malam ini. SIC kini berwajah baharu setelah sirkit sepanjang 5.543km itu dilengkapi dengan lampu limpah. --fotoBERNAMA
SEPANG: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan perlumbaan Formula One (F1), yang kali terakhir dihoskan Malaysia tahun lepas, diadakan semula di negara ini.

"Mungkin," katanya ketika ditanya pemberita sama ada pemasangan lampu limpah di sepanjang Litar Antarabangsa Sepang (SIC) boleh dilihat sebagai petanda perlumbaan berprestij itu akan kembali dianjurkan di SIC.

Beliau sebelum itu memandu kereta Ferrari di litar sepanjang 5.543 kilometer itu sebagai simbolik perasmian 'Circuit Lights' berkenaan di sini malam ini.
Dr Mahathir bagaimanapun menarik perhatian bahawa kadar pencahayaan lampu limpah yang lebih tinggi diperlukan sekiranya SIC mahu menjalankan perlumbaan pada sebelah malam.

"Kalau untuk F1 pencahayaan kena lebih terang sedikit sebab kadar pencahayaan sekarang tidak berapa cerah. Ia akan menyukarkan kerja-kerja penyiaran," katanya.

Dr Mahathir berkata SIC berpotensi menjadi kota raya sukan permotoran dan sebagai platform untuk memajukan sukan permotoran di negara ini.

"Sepang boleh menjadi kota raya sukan permotoran di mana setiap orang yang berminat dalam aktiviti seumpama itu atau kejuruteraan boleh datang ke sini dan belajar untuk maju dalam bidang ini," kata beliau.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata terpulang kepada Kabinet untuk menentukan sama ada perlumbaan F1 akan diadakan semula di Malaysia.

-- BERNAMA