PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu mesyuarat khas ahli majlis hari ini mengumumkan penaung baru bagi badan induk itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, diangkat sebagai penaung baru bagi menggantikan Datin Seri Rosmah Mansor.

"Dalam mesyuarat majlis yang diadakan tadi, sejajar dengan perlembagaan BAM, ahli-ahli majlis secara sebulat suara melantik Dr. Wan Azizah sebagai penaung BAM yang baru.

"Kami berterima kasih dan berbesar hati dengan Dr. Wan Azizah kerana telah bersetuju untuk menerima jemputan kami sebagai penaung BAM.

"Di bawah Dr. Wan Azizah, kami yakin sukan badminton di Malaysia akan lebih cemerlang dan menyerlah ke arah Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Malah, beliau adalah seorang pemain badminton dan sentiasa peka dengan perkembangan badminton di Malaysia.

"Sebagai timbalan perdana menteri wanita yang pertama (di Malaysia), Dr. Wan Azizah telah menunjukkan tiada apa yang mustahil.

"Kami sememangnya berharap kecekalan dan komitmen beliau akan dicontohi para pemain dan pegawai-pegawai kami.

"Majlis BAM mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada bekas penaung, Datin Seri Rosmah, atas sumbangannya terhadap badminton Malaysia," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.