Berita  | Sukan

Dua beregu campuran mara ke suku akhir Terbuka Denmark

Dua beregu campuran mara ke suku akhir Terbuka Denmark
Pasangan beregu campuran negara Chan Peng Soon (kiri) dan Goh Liu Ying ketika beraksi pada Sukan Komanwel 2018 April lalu. --fotoBERNAMA/Fail
KUALA LUMPUR: Dua pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menempah slot ke suku akhir Terbuka Denmark 2018 selepas menewaskan lawan masing-masing di pusingan kedua kejohanan itu di Odense, Denmark pada Khamis.

Peng Soon-Liu Ying, beregu pilihan keenam, mara ke pusingan seterusnya selepas menumpaskan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun; 21-18 dan 21-16 pada aksi yang berlangsung di Odense Sports Park, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfworldtour.befbadminton.com.

Goh-Lai, yang merupakan pilihan ketujuh, pula melangkah ke pusingan lapan pasangan terbaik itu apabila mengalahkan Lu Kai-Chen Lu dari China; 21-16 dan 21-7 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Kedua-dua pasangan beregu campuran itu adalah wakil negara yang masih meneruskan cabaran pada kejohanan berkenaan selepas beberapa pemain Malaysia lain tumpas dalam pusingan pembukaan pada Rabu.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan wanita pada Kejohanan Jelajah Dunia BWF berstatus Super 750 itu.

-- BERNAMA