Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dijangka mendapatkan khidmat sekurang-kurangnya dua pemain import baharu bagi memperkuatkan skuad The Bos Gaurus dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata langkah itu perlu dilakukan berikutan pemain import sedia ada, Yashir Pinto masih mengalami kecederaan manakala Thiago Junior Aquino ada menyuarakan hasrat untuk bersara.

Beliau berkata tumpuan PAFA pada masa ini adalah untuk mencari pemain import yang mampu beraksi di bahagian serangan dan pertahanan, sepertimana posisi Yashir serta Thiago.

"Kita nak lihat balik kelemahan kita kerana berdasarkan rekod musim ini, jumlah bolos melebihi jumlah jaringan.

"Oleh itu, kita perlu perbaiki kedua-duanya, posisi pertahanan kita kena kuatkan dan bahagian serangan kita juga kena perkukuhkan lagi," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di beberapa venue Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Puhat menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan perpindahan pemain import Selangor, Andik Vermansyah ke Perak.

Beliau berkata tiada sebarang perbincangan dilakukan dengan pemain antarabangsa Indonesia itu dan segala kata putus berkaitan perkara berkenaan tertakluk di bawah kuasa Mehmet Durakovic selaku jurulatih.

"Apa yang boleh saya katakan sehingga kini masih tiada apa-apa lagi. Kalau ada pun, ia mungkin perjumpaan biasa antara Mehmet dan Andik yang pernah bersama sebelum ini dalam pasukan Selangor," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PAFA juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain tempatan yang sudah menyuarakan hasrat untuk menyarung jersi Perak.

Beliau berkata pada masa ini, pihaknya tidak boleh mendedahkan secara lanjut mengenai perkara tersebut, namun memberi jaminan hal itu akan diselesaikan awal bulan depan.

"Kita tidak mahu dedahkan terlalu awal kerana bimbang ia akan menjejaskan peluang kita memiliki mereka dan buat masa sekarang, kita sedang buat rundingan secara dalaman," katanya.

Mengulas mengenai pemain sedia ada, Abdul Puhat yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menjelaskan sebahagian besar pemain akan dikekalkan bagi menghadapi Liga Malaysia 2018.

"Kita hanya gugurkan segelintir pemain dan ada dalam kalangan mereka yang telah tamat kontrak dengan PAFA," katanya.

-- BERNAMA