Kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang dilihat seperti menuduh mereka mengatur perlawanan dengan Felcra United pada 10 Februari lalu, dua pemain Sarawak yang terlibat menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada persatuan itu.

Tuntutan berkenaan dibuat melalui peguam yang mewakili mereka, Irawan Sudarsono yang turut menganggap cara FAS mengendalikan kes berkenaan yang dianggap berniat jahat sekali gus bakal memberi persepsi negatif tehadap mereka.

''Anak guam saya sangat kecewa dengan cara FAS kendalikan kes ini.

''Kami percaya berlaku pengabaian kebenaran dalam cara mereka menggambarkan anak guam kami dan memberi tanggapan salah terhadap mereka selepas bertahun-tahun berkhidmat untuk Pasukan Sarawak sebagai pemain profesional apabila mereka memfailkan laporan dakwaan mengatur permainan kepada SPRM,'' katanya dalam satu sidang media khas di sini, hari ini.

Kedua-dua pemain itu katanya, terpaksa berdepan persepsi negatif penyokong apabila berita mengenai tahanan reman mereka disiarkan di media.

Shingga kini, FAS juga belum mengemukakan sebarang permohonan maaf secara terbuka atau peribadi atas apa yang berlaku.

Justeru katanya, mereka akan mencari jalan penyelesaian yang sesuai mengikut undang-undang bagi menuntut keadilan kepada pemain berkenaan sebagai langkah membersihkan nama dan reputasi mereka.

BACA: Atur perlawanan, dua pemain Sarawak direman

Sementara itu, Presiden FAS, Datuk Posa Majais bertegas tidak akan memohon maaf kepada pemain berkenaan kerana apa yang dilakukannya adalah tanggungjawab dan amanah selaku presiden.

''Kalau tindakan FAS menyebabkan beberapa pihak tidak berpuas hati, saya faham dan mengerti, tetapi kalau ada yang menuntut saya untuk memohon maaf dan meletak jawatan, ia agak sukar untuk saya berbuat demikian kerana saya hanya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebagai presiden yang sebelum ini tiada seorangpun mahu menjawatnya,'' katanya dalam satu kenyataan petang semalam.

FAS maaf

Menurutnya, sebagai presiden yang dipilih, dia bertanggungjawab memastikan bola sepak di Sarawak bukan sahaja berkembang maju, malah memastikan ia terpelihara serta bersih dari segala ancaman.

''FAS berpegang kepada prinsip sifar toleransi terhadap isu rasuah dan tidak akan sekali-kali membenarkan gejala kurang sihat seperti mengatur perlawanan bertapak dalam bola sepak di Sarawak,'' ujarnya.

Tegasnya, tanggapan yang mengatakan FAS menjadikan isu atur perlawanan sebagai alasan atau jalan keluar dari kegagalan serta menganiaya pemain adalah tidak berasas sama sekali memandangkan pihaknya tidak pernah menamakan mana-mana pemain.