Pengenalan sukan elektronik atau lebih dikenali sebagai e-Sports menjadi tarikan terbaharu sempena sambutan edisi ketiga Hari Sukan Negara (HSN) 2018 esok.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Malaysia merupakan pasaran e-Sports ke-21 terbesar dunia dengan nilai AS$586.7 juta (RM2.4 bilion) dan setakat tahun 2017, Malaysia mempunyai lebih 14 juta pemain.

Justeru, pada sambutan kali ini, beliau ingin mencuba sesuatu yang unik dan dekat dengan golongan belia dengan memperkenalkan e-Sports sebagai acara baharu dalam sambutan Hari Sukan Negara 2018.

"Kita akan main pelbagai jenis sukan...ada yang suka bola sepak, futsal, e-Sports...kerana kita hendak tunjukkan sukan ini inklusif. Bukan sahaja sukan tradisional tapi juga sukan baharu e-Sports akan disediakan kerana mereka juga harus diberikan tempat," katanya dalam satu video mempromosikan HSN di laman Instagram @kbsmalaysia.

Antara permainan e-Sports yang mempunyai ramai pemain di Malaysia adalah seperti Dota2, CSGO, FIFA Online3, Mobile Legend, Arena of Valor, PES dan FIFA19.

Selain itu, Syed Saddiq berkata sukan merupakan sesuatu yang unik kerana ia mampu menyatukan rakyat berbilang bangsa, agama dan fahaman politik tanpa mengira pelbagai peringkat umur.

"Saya akan bersama dengan kamu semua pada Hari Sukan Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil dari pagi sampai ke malam. Banyak acara akan dilaksanakan. Saya akan turut bersama bermain bola sepak dan e-Sports. Saya akan bersama beberapa figura politik untuk bermain bola sepak," katanya.

Sambutan HSN 2018 peringkat kebangsaan akan diadakan di Bandar Sukan Kuala Lumpur Bukit Jalil serta dijalankan serentak di seluruh negara.

Sambutan HSN telah diisytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun sebagai suatu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah'Negara Bersukan.

-- BERNAMA