Perak berjaya meraih pingat emas melalui pesilatnya, Putri Nur Syifaa Azahari dalam acara Solo Kreatif Putri pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak di sini, malam tadi.

Gerakan tangkas dan menepati tempoh masa persembahan membolehkan Putri Nur Syifaa memperoleh 221 mata menewaskan 11 peserta lain untuk dinobatkan selaku juara keseluruhan acara berkenaan.

Pingat perak menjadi milik pesilat Kedah, Noor Nasuha Zainal Abidin dengan kutipan 213 mata, manakala gangsa dimenangi pesilat Selangor, Nur Aina Damia Ahmad Sharbani dengan catatan 212 mata.

Ketika ditemui, Putri Nur Syifaa, 19, yang berasal dari Taiping, memberitahu beliau tidak menjangka mampu merangkul pingat emas berdasarkan cabaran hebat diberikan peserta lain.

Beliau berkata berkat usaha gigih dan sokongan daripada jurulatih dan keluarga, kejayaan manis itu berjaya dilakar di negeri sendiri.

"Ia satu kejayaan manis kerana semasa menyertai acara Tunggal Putri pada Sukma Sarawak (dua tahun lepas) saya tidak memenangi sebarang pingat.

"Alhamdulillah, selepas beralih ke acara solo kreatif, ia membuahkan hasil dan saya ucap terima kasih kepada semua pihak termasuk jurulatih dan keluarga yang banyak menjadi pendorong kepada kejayaan ini," katanya.

Sementara dalam acara Regu Putra, gandingan mantap trio Sarawak - Emran Iman Abu Bakar, Mohammad Nazri Saiful Bahri dan Mohd Shafiee Zaidi - berjaya menggondol pingat emas selepas meraih 451 mata.

Regu Selangor dan Perlis pula, masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dengan kutipan 449 dan 446 mata.

Jurulatih Sarawak, Mohd Firdaus Rahmat berkata kejayaan itu amat bermakna kerana acara berkenaan menjadi antara sandaran utama memenangi pingat emas.

Katanya, kejayaan itu juga menjadi perangsang kepada pesilat lain untuk mencapai sasaran awal sekurang-kurangnya memenangi empat pingat emas.

"Bagi saya, pingat emas yang diraih dalam acara ini amat berbaloi kerana kita membuat persiapan rapi selama enam bulan sebelum menghadapi temasya ini.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada pesilat kerana berjaya membuktikan mereka mampu beraksi cemerlang walaupun berdepan saingan hebat dari negeri lain," katanya.

-- BERNAMA