Empat beregu skuasy negara berjaya mara ke saingan separuh akhir acara beregu wanita dan beregu lelaki pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL1017).

Mereka terdiri daripada dua beregu wanita iaitu Chan Yiwen-Nazihah Haris dan Andrea Lee Jia Qi-Rachel Arnold manakala beregu lelaki pula ialah Muhammad Syafiq Mohd Kamal-Ng Eain Yow dan Mohd Farez Izwan Mohd Mukhtar-Ong Sai Hung.

Di saingan suku akhir, Andrea dan Rachel yang mendapat 'bye' pada pusingan pertama menewaskan beregu Thailand, Anantana Prasertratanakul-Panisa Suwanarat , 11-4 11-6, untuk bertemu beregu Singapura Au Yeong Wai Yhann-Sneha Sivakumar.

Chan dan Nazihah yang juga turut mendapat 'bye' pada pusingan pertama akan beraksi menentang Jemyco Aribado-Yvonne Alyssa Dalida dari Filipina di separuh akhir selepas menundukkan pasangan Indonesia, Catur Yuliana-Rinduri Maulida Arnasty 11-5, 11-7.

Bagi perlawanan beregu lelaki, Eain Yow dan Muhammad Syafiq menewaskan David William Pelino dan Juan Rafael Yam dari Filipina 11-5, 11-5 untuk bertemu pemain Singapura, Benedict Chan Jia Wei-Chua Man Tong.

Mohd Farez Izwan dan Sai Hung pula menundukkan Reymark Begornia-Robert Andrew Garcia dari Filipina 11-2, 11-6 untuk menentang pemain Singapura, Pang Ka Hoe-Timothy Leong Yew Sing di separuh akhir.

Mereka akan beraksi di saingan separuh akhir pada pukul 7 malam, esok.

Mengulas perlawanan hari ini, pengurus pasukan Nik Razeen A Daud berkata buat masa sekarang skuad skuasy berada di landasan seperti yang disasarkan.

Katanya, walaupun perlawanan tidak mudah namun beliau masih yakin dengan peluang pemain Malaysia untuk mara ke final acara beregu lelaki dan beregu wanita.

-- BERNAMA